KEPALA BATAS, 3 Sept (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menahan 12 lelaki warga asing kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di sebuah tapak pembinaan di sini semalam.
JIM Pulau Pinang menerusi hantaran di Facebook memaklumkan mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh warga Indonesia, empat warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar yang berusia 20 hingga 50 tahun.
"Pihak imigresen turut menjalankan pemeriksaan ke atas seorang majikan warga tempatan di situ dalam operasi yang turut disertai Jabatan Tenaga Kerja Pulau Pinang, Jabatan Pendaftaran Negara Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai," menurut hantaran itu.
Sementara itu, JIM Pulau Pinang turut menahan 18 warga asing kerana pelbagai kesalahan di bawah undang-undang imigresen dalam Ops Selera dan Ops Sapu yang dijalankan sekitar George Town dan Paya Terubong, dekat sini pada Selasa.
Dalam operasi itu, JIM Pulau Pinang telah menjalankan pemeriksaan ke atas 37 warga asing yang bekerja di restoran dan kedai makan serta penyewa di rumah sekitar kawasan tersebut sebelum menahan 18 individu berusia 20 hingga 50 tahun.
JIM Pulau Pinang memaklumkan operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa dan pihaknya akan mempergiat operasi bagi memastikan majikan serta warga asing mematuhi undang-undang serta tidak mengambil kesempatan terhadap peluang pekerjaan di negara ini.
-- BERNAMA