Am 03/09/2026 09:38 PM

AS Bawa Budaya Karnival Amerika Ke Sabah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
AS Bawa Budaya Karnival Amerika Ke Sabah
Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur David Gamble (kiri) bersama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Ceasar Mandela Malakun (dua, kanan) ketika menghadiri acara "Freedom 250 Fun Run dan Pesta Negeri Amerika" di Padang Merdeka Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU, 3 Sept (Bernama) -- Amerika Syarikat (AS) membawa budaya karnival negeri atau state fair ke Sabah dengan menawarkan pelbagai jenis makanan, permainan, muzik dan aktiviti kemasyarakatan Amerika kepada penduduk tempatan sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan negara itu.

Kuasa Usaha Kedutaan AS di Kuala Lumpur David Gamble berkata The Great American Sabah State Fair yang diadakan di Padang Merdeka di sini hari ini bertujuan memberi pengalaman yang sinonim dengan kehidupan masyarakat Amerika kepada rakyat Sabah, selain meraikan hubungan erat antara kedua-dua negara.

“Jadi, kami berpendapat tiada tempat yang lebih baik untuk meraikan Freedom 250, iaitu 250 tahun kemerdekaan AS, selain di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan peserta larian Freedom250 Run pada majlis berkenaan.

Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Beliau berkata pihak kedutaan memilih untuk menganjurkan sambutan berskala besar itu di Sabah memandangkan 2026 tahun penting bagi AS, manakala Malaysia juga baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan ke-69.

"Jadi, sudah tiba masanya untuk kami mengadakan sambutan secara besar-besaran bagi menonjolkan kepada rakyat Sabah suasana berkunjung ke karnival negeri di Amerika Syarikat supaya semua orang dapat merasai pengalaman tersebut," katanya.

Gamble berkata karnival negeri di AS lazimnya menampilkan permainan ala karnival, makanan, hiburan dan aktiviti keluarga dengan kebanyakan elemen itu turut diketengahkan pada acara di Sabah.

Antara aktiviti yang diadakan ialah pertandingan pai epal dan makan sosej, permainan, persembahan selain kira-kira 40 vendor menawarkan pelbagai jenis makanan, hasil seni dan kraf tangan serta produk lain.

Karnival itu turut bertujuan menyediakan ruang kepada rakyat Sabah untuk meluangkan masa bersama-sama keluarga dan rakan-rakan sambil menikmati pengalaman budaya Amerika.

Beliau turut menekankan persamaan antara AS dan Sabah dari segi berbilang budaya, dengan kedua-dua komuniti terbentuk hasil penyatuan pelbagai kelompok masyarakat.

Gamble yang pernah berkunjung ke Sabah sempena sambutan Pesta Kaamatan berkata negeri itu berjaya memelihara dan meraikan kepelbagaian budayanya dengan mengekalkan keaslian.

“Sabah mempunyai keunikan semula jadi yang tersendiri, penduduknya mengamalkan budaya itu secara langsung. Itu sebabnya ramai rakyat Amerika datang ke Sabah dan kami sangat gembira serta selesa berada di sini,” katanya.

Karnival itu dimulakan dengan Freedom250 Run yang melibatkan kira-kira 600 peserta.

The Great American Sabah State Fair turut menampilkan persembahan Pacific Partnership Band, konvoi lebih 50 motosikal Harley-Davidson, persembahan DJ dan pelbagai aktiviti lain dan dijangka menarik kehadiran ribuan pengunjung.

-- BERNAMA