Ekonomi 03/09/2026 08:41 PM

Pelaburan, Pekerjaan Kekal Berdaya Tahan Pada Separuh Kedua 2026 - FMM

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pelaburan, Pekerjaan Kekal Berdaya Tahan Pada Separuh Kedua 2026 - FMM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Pelaburan dan pekerjaan dijangka kekal berdaya tahan pada separuh kedua 2026, didorong keyakinan perniagaan terhadap prospek ekonomi susulan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) serta peluang daripada penyusunan semula rantaian bekalan global, menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presiden FMM Jacob Lee Chor Kok berkata Malaysia menjadi destinasi pilihan bagi banyak rantaian bekalan global, sekali gus membantu mengukuhkan keyakinan sektor perniagaan terhadap prospek negara.

Beliau berkata sektor perniagaan Malaysia, khususnya sektor pembuatan, telah melalui pelbagai krisis dan gangguan yang akhirnya meningkatkan keupayaan industri untuk menghadapi cabaran.

“Sektor perniagaan Malaysia, khususnya sektor pembuatan, telah melalui satu krisis demi satu krisis. Terdapat begitu banyak gangguan dan cabaran.

“Pengalaman yang dilalui selama ini, saya fikir, telah meningkatkan keyakinan kita bahawa keadaan yang lebih baik akan datang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran edisi ke-29 Kajian Keadaan Perniagaan FMM bagi separuh pertama 2026 hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia perlu terus memperluas jualan dan meneroka pasaran baharu bagi memanfaatkan peluang perdagangan yang tersedia.

“Kita mempunyai begitu banyak perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan FTA baharu yang sedang diwujudkan. Saya fikir kita semakin melangkah ke dalam lingkungan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” katanya.

Beliau berkata sejak Malaysia menyertai CPTPP, perdagangan dengan Jepun meningkat 45.9 peratus, Mexico 59.1 peratus, United Kingdom 77.4 peratus, Kanada 44.1 peratus dan India 20.5 peratus.

“Ini menunjukkan terdapat potensi untuk memperluas pasaran.

“Jika kita dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai serta mengeksport ke pasaran seperti Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat, mereka perlu memenuhi pelbagai piawaian dan mendapatkan pelbagai pensijilan produk. Kos ujian dan pensijilan boleh menjadi sangat tinggi bagi PKS.

“Justeru, kami berharap kerajaan dapat menyediakan sokongan yang lebih agresif kepada industri dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu, FMM menggesa kerajaan supaya menjadikan Belanjawan 2027 sebagai pemangkin kepada pengembangan kapasiti produktif negara dengan membolehkan perniagaan, khususnya PKS, mengekalkan dan melabur semula lebih banyak modal dalam teknologi, inovasi, pembangunan bakat serta pengukuhan rantaian bekalan domestik.

-- BERNAMA