Daripada Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 3 Sept (Bernama) -- Persatuan Palang Merah Singapura (SRC) menyumbang bantuan tambahan sebanyak S$170,000 (S$1=RM3.17) bagi menyokong usaha kemanusiaan di Nepal.
Sumbangan itu akan menyokong usaha Gerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah serta rakan kongsi di lapangan, termasuk penyediaan serbuk pembersihan air, penapis air dan bekalan makanan kecemasan.
Inisiatif tersebut merupakan tambahan kepada sumbangan awal SRC sebanyak S$50,000 bagi tindak balas dan usaha bantuan di kawasan dilanda bencana.
SRC juga telah menerima sumbangan lebih S$3 juta sejak rayuan pengumpulan dana awam dilancarkan Jumaat lepas.
"Bagi memenuhi keperluan asas yang mendesak, SRC memperuntukkan kira-kira S$80,000 untuk menyediakan bekalan makanan kecemasan, termasuk bahan makanan ruji seperti beras dan lentil, kepada 2,500 isi rumah.
"Bekalan ini akan disalurkan melalui rakan kongsi kami di lapangan," menurut kenyataan organisasi itu pada Khamis.
Selain itu, SRC turut memperuntukkan kira-kira S$90,000 untuk menyediakan peralatan penapisan air bagi membantu komuniti yang terjejas mendapatkan air minum yang selamat.
"Penghantaran yang dijadualkan hujung minggu ini merangkumi 183 unit penapis air; setiap satunya mampu menghasilkan lebih 200 liter air bersih sejam dan direka untuk menampung keperluan komuniti sehingga 200 orang," menurut kenyataan itu.
Lebih 1,200 kematian dilaporkan setakat ini selepas banjir kilat dan tanah runtuh dahsyat melanda kawasan sempadan Nepal-China pada 26 Ogos, manakala hampir 4,757 orang masih hilang termasuk 541 di China.
-- BERNAMA