Am 03/09/2026 09:17 PM

Penyusupan, Penyeludupan, Pemerdagangan Manusia Antara Ancaman Diberi Perhatian KDN

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penyusupan, Penyeludupan, Pemerdagangan Manusia Antara Ancaman Diberi Perhatian KDN
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas Penyerahan Projek Siap Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Tok Bali. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PASIR PUTEH, 3 Sept (Bernama) -- Penyusupan anasir asing, penyeludupan dan pemerdagangan manusia adalah antara bentuk ancaman yang diberi perhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa terjaga.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keselamatan sempadan menjadi keutamaan pihaknya dan pendekatan yang diambil tidak hanya tertumpu kepada satu-satu bentuk ancaman.

“Keutamaan kami adalah memastikan keselamatan sempadan kita daripada semua bentuk ancaman itu terjaga. Tidak kiralah bentuk ancaman itu dalam bentuk apa namanya, penyusupan anasir asing ataupun penyeludupan mahupun pemerdagangan manusia, semua diambil kira,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Projek Siap Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga di Tok Bali di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berkaitan elemen penempatan ke Israel yang dilaporkan secara meluas oleh media di negara jiran.

Saifuddin Nasution berkata pihaknya tidak melihat sesuatu ancaman secara berasingan hanya berdasarkan satu atau dua insiden yang berlaku.

“Kami tidak tengok secara piecemeal atau terpisah hanya kerana satu dua insiden yang berlaku. Itu pendekatan kami,” katanya.

Beliau berkata pendekatan berkenaan penting bagi memastikan keselamatan sempadan negara terus menjadi keutamaan dalam menghadapi pelbagai bentuk ancaman.

-- BERNAMA