Am 03/09/2026 09:19 PM

SUKIPT : Hoe Yean Sumbang Dua Emas Buat UCSI University

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SUKIPT : Hoe Yean Sumbang Dua Emas Buat UCSI University
fb Sukan Institusi Pendidikan Tinggi

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Perenang negara Khiew Hoe Yean tampil cemerlang apabila menyumbangkan dua pingat emas kepada UCSI University pada hari pertama saingan renang Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 hari ini.

Emas pertama atlet berusia 24 tahun itu hadir menerusi acara 200 meter (m) kuak lentang selepas mengungguli perlumbaan dengan catatan 2 minit 05.92 saat (s) di Kolam Renang Universiti Malaya di sini.

Hoe Yean menewaskan perenang Monash University Joel Ling Thai Yu yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat 2:16.28s manakala Muhammad Arif Zulfikry meraih gangsa (2:19.65s).

Hoe Yean kemudian menambah koleksi pingat emas menerusi acara 4x200m gaya bebas apabila membantu kuartet UCSI University menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan 8:16.64s.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraih pingat perak selepas mencatat 8:39.91s manakala Taylor's University melengkapkan podium dengan gangsa (8:41.90s).

“Perlumbaan ini sebagai persediaan yang sangat baik untuk Sukan Asia kerana kami akan berlepas ke temasya itu pada 17 Sept.

“Ia juga sebagai persediaan yang sangat baik untuk Sukan Universiti ASEAN (AUG) kerana perlumbaan ini juga menjadi medan pemilihan perenang ke AUG,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Dalam pada itu, Hoe Yean berharap dapat meneruskan momentum cemerlang itu dengan menyumbang lebih banyak pingat emas buat UCSI University menerusi beberapa acara yang bakal disertainya selepas ini.

-- BERNAMA