MELAKA, 3 Sept (Bernama) -- Melaka menyasarkan untuk memperoleh pengiktirafan Geopark Kebangsaan pada November ini dengan 29 geotapak berpotensi dikenal pasti di seluruh negeri untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka Nasrul Ahmad berkata usaha mendapatkan pengiktirafan itu kini memasuki fasa penting, dengan pelbagai persediaan diperkukuh menerusi sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan dan pihak berkepentingan.
“Sesi libat urus ini merupakan antara perkara wajib yang perlu dilaksanakan bagi memenuhi keperluan pengiktirafan Geopark Kebangsaan.
“Selain itu, ia bertujuan memberi penerangan mengenai konsep Geopark dan geotapak kepada agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), komuniti, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), persatuan pelancongan, sektor perhotelan dan geoguide,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas sesi libat urus Aspiring Melaka Geopark Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Melaka yang dirasmikan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman di sini hari ini.
Nasrul berkata dalam tempoh dua bulan yang berbaki, pelbagai persediaan perlu diperkukuh bagi memastikan segala keperluan penilaian dapat dipenuhi sebaiknya.
Beliau berkata sejak inisiatif berkenaan dimulakan pada 2022, kerajaan negeri bersama agensi berkaitan telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk kajian saintifik, inventori geotapak, pembangunan geokomuniti serta program pendidikan dan kesedaran awam.
“Sebanyak 29 geotapak berpotensi dikenal pasti di tiga daerah, iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah yang menampilkan keunikan geologi, biodiversiti dan warisan budaya negeri.
“Antara geotapak di Melaka Tengah ialah Pulau Upeh, Pulau Besar dan Teluk Mas, manakala di Jasin kita ada Bukit Batu Lebah selain di Alor Gajah pula antaranya ialah Tanjung Tuan dan Tanjung Bidara,” katanya.
Beliau berkata Pulau Upeh mempunyai keunikan tersendiri menerusi penemuan kesan pemotongan batu laterit di pulau berkenaan.
“Berdasarkan penerangan bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), batu laterit tersebut dikatakan dipotong dan dibawa ke Melaka pada zaman dahulu untuk digunakan dalam pembinaan Masjid Agung serta Kota A Famosa,” katanya.
Nasrul berkata pengiktirafan Geopark bukan hanya tertumpu kepada kewujudan geotapak, sebaliknya turut melibatkan pemuliharaan warisan geologi, biodiversiti dan budaya, sistem pengurusan berkesan serta penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
Beliau berkata penggiat industri pelancongan turut disaran mempromosikan dan memasukkan 29 geotapak berkenaan dalam pakej pelancongan negeri.
Katanya, Melaka turut mempunyai logo dan maskot rasmi Geopark iaitu Lantero yang diambil daripada perkataan laterit, dihasilkan menerusi beberapa sesi libat urus.
-- BERNAMA