SERDANG, 3 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempergiatkan usaha menghasilkan pelbagai varieti benih tanaman tempatan bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap benih import.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kebergantungan tinggi terhadap sumber benih tanaman luar mendedahkan industri tempatan kepada risiko gangguan rantaian bekalan, sekatan perdagangan dan peningkatan kos input pertanian.
Selain itu, beliau berkata langkah berkenaan bertujuan melindungi petani tempatan daripada benih yang tidak tulen atau tidak menepati piawaian yang boleh menjejaskan hasil serta pendapatan mereka.
“Kedaulatan makanan tidak akan dapat dicapai sepenuhnya jika kebergantungan ini berterusan. Ketika ini, hampir 90 peratus keperluan biji benih sayur-sayuran negara masih diimport.
“Malah, nilai import benih tanaman telah meningkat dengan ketara, daripada sekitar USD5 juta pada 2021 kepada USD70 juta pada 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pemerkasaan Industri Benih Tanaman Negara sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di sini hari ini.
Mohamad berkata bagi tujuan itu, KPKM kini berada pada fasa akhir penggubalan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman (RUU) di samping melaksanakan pindaan terhadap Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004 (Akta 634) agar setara dengan piawaian antarabangsa.
Menurut Mohamad, RUU itu kelak apabila diluluskan Parlimen akan menjadi instrumen penting dalam memperkemas kawal selia industri benih negara.
“Melalui perundangan itu, pihak yang terlibat di sepanjang rantaian benih, termasuk pengeluar, pemproses, pengedar, penjual, pengimport dan pengeksport perlu mematuhi standard kualiti yang ditetapkan.
“Kerajaan juga akan terus memperkukuh peranan Majlis Benih Negara serta memperluas kerjasama di peringkat serantau melalui Majlis Benih ASEAN dan persatuan industri seperti Persatuan Benih Kebangsaan Malaysia (NSAM) agar standard industri tempatan mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Mohamad ketika bercakap kepada media selepas majlis berkenaan berkata kehadiran pengunjung ke MAHA 2026 sehingga semalam mencecah 2.2 juta orang manakala nilai jualan RM14 juta.
MAHA 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept membabitkan kira-kira 2,000 pempamer dan sasaran kehadiran lebih empat juta pengunjung.
-- BERNAMA