PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pengurusan Sisa Semenanjung Malaysia terhadap Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (KPKS), mengesahkan bahawa tindakan KPKS dalam perkara tersebut adalah sah di sisi undang-undang.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan keputusan mahkamah ini merupakan satu penegasan terhadap ketepatan tindakan KPKS dalam melaksanakan kuasa serta tanggungjawab statutori yang diperuntukkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 [Akta 262].
“Ia khususnya dalam memastikan urusan dan tadbir urus kesatuan sekerja dilaksanakan selaras dengan kehendak undang-undang,” menurut kenyataan itu.
KESUMA memaklumkan permohonan semakan kehakiman tersebut difailkan susulan keputusan KPKS bertarikh 9 Mei 2024 yang tidak mendaftarkan Kamarul Baharin Mansor sebagai Setiausaha Kesatuan bagi sesi 2023/2026 berikutan isu berkaitan status pekerjaan beliau.
“Isu utama dalam kes ini adalah berhubung status Kamarul Baharin sebagai seorang “pekerja” (workman) dan kelayakan beliau untuk memegang jawatan dalam kesatuan sekerja di bawah Seksyen 26(1A) Akta Kesatuan Sekerja 1959 [Akta 262].
“Mahkamah telah menolak permohonan semakan kehakiman tersebut dan memerintahkan pemohon membayar kos sebanyak RM5,000. Mahkamah turut memutuskan bahawa tindakan KPKS adalah sah di sisi undang-undang berdasarkan kuasa siasatan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4A Akta Kesatuan Sekerja 1959,” menurut kenyataan itu.
Menurut KESUMA, keputusan mahkamah ini memberikan penegasan penting mengenai kuasa dan tanggungjawab statutori KPKS dalam melaksanakan fungsi pengawalseliaan kesatuan sekerja, termasuk dalam menentukan pematuhan terhadap syarat kelayakan seseorang untuk menjadi anggota dan memegang jawatan dalam kesatuan sekerja sebagaimana diperuntukkan oleh undang-undang.
“Keputusan ini juga memperjelas bahawa kebebasan berkesatuan hendaklah dilaksanakan dalam kerangka undang-undang.
“Hak pekerja untuk menubuhkan, menyertai dan mengambil bahagian dalam kesatuan sekerja kekal dihormati dan dilindungi manakala syarat serta kelayakan yang ditetapkan oleh undang-undang hendaklah dipatuhi,” menurut kenyataan itu.
KESUMA akan terus memperkukuh kebebasan berkesatuan dan tadbir urus kesatuan sekerja yang baik selaras dengan kerangka perundangan negara.
“Kedaulatan undang-undang akan terus menjadi asas dalam memastikan hak pekerja dan kesatuan sekerja dilindungi serta ekosistem perburuhan negara kekal adil, teratur dan harmoni,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA