Dunia 29/08/2026 03:35 PM

Jangan Abai Krisis Iklim, Segera Ambil Tindakan - Speaker Dewan Rakyat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jangan Abai Krisis Iklim, Segera Ambil Tindakan - Speaker Dewan Rakyat
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul Kredit Foto : Parliament Malaysia

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 29 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul memberi amaran bahawa sikap mengabaikan perubahan iklim boleh mengakibatkan penderitaan hebat kepada komuniti yang terdedah serta merosakkan bumi.

Menggesa supaya tindakan segera diambil, beliau berkata krisis iklim bukan lagi sekadar isu alam sekitar, malah turut menjejaskan ekonomi selain mengancam kesihatan awam dan keselamatan makanan serta tenaga.

“Ia membimbangkan. Pemimpin kita langsung tidak membincangkannya, malah sesetengah penggubal undang-undang tidak mempunyai pengetahuan mengenai isu ini. Mengapa kita menebang pokok? Mengapa kita tidak pernah memikirkan tentang tenaga solar, angin atau ombak?

“Apabila kita memerlukan lebih banyak tenaga, kita membakar arang batu (untuk menjana loji kuasa). Apa yang kita perlukan ialah subjek perubahan iklim diajarkan di sekolah, kita memerlukan lebih banyak usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pelaburan dalam teknologi,” kata Johari kepada Bernama ketika sela Persidangan Yang di-Pertua Parlimen Kali Kedua (ISC-2) di Phnom Penh pada Jumaat.

Persidangan berlangsung tiga hari bermula 26 Ogos.

Beliau berkata penggubal dasar perlu melabur lebih banyak dalam pendidikan awal serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain memanfaatkan teknologi bagi menangani kesan perubahan iklim yang menjejaskan setiap lapisan masyarakat.

Amaran Johari itu hadir selepas banjir kilat besar melanda Nepal, mengorbankan ratusan nyawa serta memusnahkan kediaman dan punca mata pencarian, sekali gus mendedahkan kerentanan komuniti yang semakin meningkat terhadap kejadian cuaca ekstrem.

Dari Nepal yang bergunung-ganang di Asia Selatan hingga ke Laos yang tidak mempunyai akses laut di Asia Tenggara, komuniti di seluruh rantau ini berdepan bencana berkaitan iklim yang kerap berlaku.

"Apabila kita meneliti isu iklim, ia merupakan isu global. Membincangkannya satu perkara, namun usaha membasmi masalah tersebut ialah teras kepada segala-galanya.

“Kita memerlukan iltizam politik dan kepimpinan untuk mengatasi cabaran ini, lebih-lebih lagi apabila jurang antara golongan kaya dan miskin semakin melebar," kata Johari.

Beliau turut menyentuh mengenai langkah China melaksanakan strategi jangka panjang bagi mempromosikan teknologi hijau demi memelihara alam sekitar, antaranya termasuk membangunkan teknologi mesra alam, memajukan kenderaan elektrik serta memperluas kawasan hijau.

-- BERNAMA