KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Dua stesen pemantauan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat petang ini manakala 29 kawasan lain berada pada tahap tidak sihat.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), bacaan IPU di stesen pemantauan di Sri Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak, masing-masing mencecah 229 dan 228 setakat 4 petang.
Kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat pula antaranya ialah Sarikei, Sarawak (194); Sungai Petani, Kedah (161); Cheras, Kuala Lumpur (160); Minden, Pulau Pinang (158); Taiping, Perak (158); Shah Alam, Selangor (157); Putrajaya (155); Seremban, Negeri Sembilan (151) dan Segamat, Johor (132).
Selain itu, sebanyak 36 kawasan lagi mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana, termasuk Pegoh Ipoh, Perak (99); Banting, Selangor (95); Bukit Rambai, Melaka (92); Tangkak, Johor (90); Besut, Terengganu (88); Kota Bharu, Kelantan (87) dan Kota Kinabalu, Sabah (86).
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
-- BERNAMA