Am 29/08/2026 06:48 PM

Laluan Masuk Ke Kelantan Mula Sesak Di Kampung Mentara, Gua Musang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Laluan Masuk Ke Kelantan Mula Sesak Di Kampung Mentara, Gua Musang
fb PLUS Malaysia

GUA MUSANG, 29 Ogos (Bernama) -- Aliran trafik di laluan masuk ke Kelantan dilaporkan perlahan sepanjang kira-kira 20 kilometer di pintu masuk sempadan melibatkan laluan Merapoh, Pahang ke Kampung Mentara, Gua Musang berikutan pertambahan kenderaan sempena cuti persekolahan dan sambutan Hari Kebangsaan pada Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata anggota polis trafik dan Unit Kereta Peronda (MPV) digerakkan ke lokasi untuk membuat rondaan secara berkala.

“Setakat ini pihak polis sentiasa memantau rapi pergerakan aliran trafik di semua laluan utama bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pengguna jalan raya terkawal.

“Kesesakan dikesan berlaku di kawasan lencongan projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan dari Merapoh sehingga ke penghujung lebuh raya di Kampung Mentara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata aliran trafik kembali lancar selepas melepasi kawasan lencongan berkenaan.

“Setakat ini, kenderaan didapati memang banyak namun keadaan jalan raya di bandar Gua Musang masih lancar tanpa sebarang kesesakan luar biasa,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama setakat 5 petang tadi di sekitar Bandar Gua Musang menuju ke Kuala Krai mendapati aliran trafik berjalan lancar meskipun berlaku pertambahan kenderaan sejak pagi tadi.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan sebelum ini menjangkakan aliran trafik mencecah 2.2 juta kenderaan di lebuh raya kendaliannya pada hari puncak sepanjang 28 hingga 31 Ogos serta 4 hingga 7 Sept sempena sambutan Hari Kebangsaan dan cuti persekolahan.

PLUS turut menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan lebih awal dengan merujuk jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS bagi membantu mengagihkan aliran trafik dan mengurangkan tumpuan kenderaan pada waktu puncak.

-- BERNAMA