KUALA TERENGGANU, 29 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 100 peserta menyertai program Brisk Walk Persatuan Solidariti Nasional (PerSoNa) Merdeka Terengganu 2026 di Teluk Ketapang, hari ini.
Pengerusi PerSoNa Terengganu Wan Salmah Wan Hamat berkata program dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Teluk Ketapang dan Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) itu bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya membawa mesej lebih besar dalam usaha membentuk masyarakat yang sihat, bersatu padu dan mempunyai semangat cinta akan negara.
Beliau berkata ia juga sebagai platform memperkukuh hubungan antara warga PerSoNa dan komuniti setempat melalui sumbangan bakul makanan kepada warga emas dan asnaf terpilih.
"PerSoNa mahu program seperti ini terus menjadi wadah untuk membina ukhuwah, menyemai semangat patriotik dan mendekatkan warga pertubuhan dengan masyarakat.
"Pada kita, semangat merdeka bukan hanya dizahirkan melalui kibaran Jalur Gemilang, tetapi juga melalui semangat kebersamaan, saling membantu dan mengambil berat terhadap komuniti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Salmah berkata selain brisk walk, program itu turut diserikan dengan penyerahan Jalur Gemilang kepada peserta dan komuniti setempat sebagai simbolik semangat cinta akan negara bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan.
Beliau berkata penglibatan komuniti setempat dalam program berkenaan membuktikan aktiviti riadah mampu menjadi medium berkesan untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, bertepatan dengan bulan sambutan Hari Kebangsaan.
-- BERNAMA