GEORGE TOWN, 29 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan kerja dua hari ke Pulau Pinang dengan menghadiri majlis minum petang bersama dengan Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib di kediaman rasmi Seri Mutiara di sini hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata pertemuan itu akan terus memperkukuh hubungan dan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri.
Sementara itu, Ramli berkata beliau berbesar hati menerima kunjungan Perdana Menteri serta menyifatkan ziarah tersebut sebagai ruang untuk bertukar pandangan mengenai beberapa perkembangan semasa berkaitan Pulau Pinang dan negara.
"Saya amat menghargai kesudian Datuk Seri meluangkan masa berkunjung ke Seri Mutiara sebelum terus berangkat pulang ke Kuala Lumpur.
"Pertemuan turut diceriakan dengan gelagat cucunda, Aldrey (Alfi) yang begitu teruja mengajukan pelbagai soalan dan dilayani Datuk Seri dengan penuh mesra. Terima kasih atas ziarah dan silaturahim yang terus terpelihara," katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar mengadakan lawatan kerja dua hari ke Pulau Pinang bermula semalam, yang padat dengan pelbagai pengisian antaranya menghadiri Program Skim Usahawan Bangkit Permatang Pauh, Jambori Pengakap Malaysia ke-15 dan Program Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat MADANI 2026.
-- BERNAMA