Am 29/08/2026 11:40 PM

Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke Majlis Santapan Diraja UTM 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke Majlis Santapan Diraja UTM 2026
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah (tengah) diiringi Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor (dua, kiri) berkenan menyempurnakan Majlis Santapan Diraja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2026 di Grand Hyatt. Turut sama Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Ts Dr Mohd Shafry Mohd Rahim (kanan).

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2026 di sini malam ini.

Turut berangkat ke acara dwitahunan itu ialah Pro-Canselor UTM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Hadir sama Pro-Canselor UTM Tan Sri Datuk Profesor Emeritus Ir. Dr. Mohd Zulkifli Mohd Ghazali dan Duta Besar Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki.

Pada majlis itu, Raja Zarith Sofiah berkenan menyaksikan persembahan tayangan video dan acara Peluncuran Inisiatif Endowmen Penerbitan Buku serta persembahan cek cura penyumbang dana bagi pembangunan pendidikan dan kebajikan pelajar.

Majlis santapan itu juga diserikan dengan persembahan istimewa artis undangan Wani Hasrita.

Sementara itu, Naib Canselor UTM Profesor Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dalam sembah ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua tetamu, para penyumbang dan dermawan, serta tahniah kepada seluruh jawatankuasa yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis yang istimewa itu.

Beliau berkata UTM Royal Gala Dinner, yang kini diadakan buat kali kelima ialah inisiatif dwitahunan universiti untuk mengumpulkan dana bagi menyokong kebajikan dan pendidikan pelajar serta pembangunan UTM.

Sebanyak RM16 juta sumbangan diterima pihak UTM pada tahun ini daripada penyumbang, antaranya Bidari Kekal Sdn. Bhd., Japan International Cooperation Agency (JICA), Johor Port Berhad, Awantec Systems Sdn. Bhd. dan Permodalan Nasional Berhad.

"Sehingga kini, UTM telah menganugerahkan 1,013 Biasiswa Endowmen kepada pelajar B40. Secara kumulatif, Tabung Endowmen UTM telah mengumpulkan RM183.72 juta, dengan RM30.93 juta telah dimanfaatkan untuk pemberian biasiswa.

"Selain itu, lebih 500 pelajar B40 menerima bantuan sara hidup, lebih 5,000 pelajar menerima bantuan makanan percuma dan lebih 400 pelajar menerima bantuan wang saku perayaan, tanpa mengira kaum dan agama," katanya.

  Mohd Shafry berkata semangat kemanusiaan UTM turut merentasi sempadan dengan UTM telah menaja 10 pelajar Palestin untuk mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah di UTM sejak 2023 melalui Program UTM Serambi Al-Quds.

“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duta Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki, serta JICA atas sokongan, sumbangan dan kerjasama berterusan mereka dengan UTM, yang telah memberikan impak bermakna dalam memajukan pendidikan, penyelidikan serta memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Jepun,” katanya.

-- BERNAMA