Am 29/08/2026 11:55 PM

Atlet IPT Bukti Keupayaan Bersaing, Cipta Kejayaan Di Pentas Antarabangsa - Zambry

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Atlet IPT Bukti Keupayaan Bersaing, Cipta Kejayaan Di Pentas Antarabangsa - Zambry
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah) merasmikan SUKIPT 2026 di Universiti Malaya.

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Pencapaian atlet institusi pendidikan tinggi (IPT) di kejohanan antarabangsa, termasuk Sukan Komanwel Glasgow 2026 baru-baru ini, membuktikan sukan peringkat universiti mampu menjadi medan melahirkan bakat berkualiti yang menyumbang kepada kecemerlangan sukan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kejayaan atlet berkenaan meraih pingat selain mencipta dan memperbaharui rekod dalam pelbagai kejohanan menyerlahkan potensi besar mahasiswa negara dalam sukan.

“Inilah wajah sebenar sukan IPT yang kita mahu, wajah yang berani mencabar rekod dan wajah yang mampu mengangkat nama Malaysia di persada dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 di Universiti Malaya (UM) Arena di sini hari ini.

Beliau berkata antara yang paling membanggakan ialah kejayaan Muhammad Erry Hidayat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Muhammad Aniq Kasdan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang meraih pingat emas masing-masing dalam acara angkat berat lelaki 79 kilogram (kg) dan lelaki 60kg di Sukan Komanwel Glasgow.

Tidak ketinggalan, Zambry berkata kejayaan Amir Daniel Abdul Majid dari Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah meraih pingat emas acara judo, sekali gus muncul atlet Malaysia pertama memenangi emas dalam acara berkenaan di temasya itu, selain Amirul Daniel Abdul Rahim dari Universiti Malaya (UM) yang  menyumbang pingat gangsa menerusi acara boling padang.

Selain itu, beliau berkata dalam sukan olahraga beberapa atlet IPT turut mempamerkan prestasi cemerlang dengan memecahkan rekod kebangsaan termasuk pelari negara, Omar Osman dari Politeknik Sultan Ibrahim yang mencipta rekod baharu 400 meter (m) dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Taiwan, serta pelari pecut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Danish Iftikhar Muhammad Rosli yang memecahkan dua rekod Sukan Malaysia (SUKMA) dalam acara 200m dan 4x100m.

SUKIPT 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept di UM menghimpunkan 64 kontinjen terdiri daripada 20 universiti awam, 42 universiti atau institusi pendidikan tinggi swasta, masing-masing sebuah politeknik dan kolej komuniti untuk bersaing dalam 30 jenis sukan melibatkan 8,244 atlet dan pegawai

Bertemakan “Mencipta Legasi Juara”, penganjuran edisi ketujuh itu menawarkan 227 pingat emas selain insentif RM3,000 masing-masing kepada Olahragawan dan Olahragawati, RM7,000 kepada Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita serta RM20,000 kepada atlet yang berjaya mencipta rekod kebangsaan.

-- BERNAMA