Am 29/08/2026 09:14 PM

Perluas Akses Ahli psikologi Di Sekolah - Lee Lam Thye 

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perluas Akses Ahli psikologi Di Sekolah - Lee Lam Thye 
Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental Tan Sri Lee Lam Thye --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Sekolah memerlukan sistem sokongan kesihatan mental pelbagai disiplin yang lebih kukuh dengan menyediakan akses lebih meluas kepada ahli psikologi yang berkelayakan di samping kaunselor sekolah sedia ada, kata Tan Sri Lee Lam Thye.

Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental itu berkata di samping kaunselor terus menyediakan khidmat kaunseling, pengesanan awal, sokongan emosi dan rujukan, pakar psikologi pula boleh menyediakan penilaian serta intervensi lebih khusus kepada pelajar yang mempunyai keperluan kesihatan mental lebih kompleks.

“Golongan muda hari ini berdepan pelbagai tekanan, termasuk tuntutan akademik, masalah keluarga, buli, buli siber, tekanan media sosial, risiko dalam talian, masalah hubungan serta tidak pasti mengenai masa depan mereka.

“Ada juga yang mungkin mengalami kebimbangan, kemurungan, kecenderungan mencederakan diri atau masalah psikologi lain yang memerlukan penilaian dan intervensi profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perlu ada saluran rujukan yang jelas antara sekolah, ahli psikologi, kemudahan kesihatan kerajaan dan perkhidmatan kesihatan mental berkaitan supaya pelajar yang memerlukan bantuan dapat menerima rawatan profesional lebih awal, sebelum masalah menjadi lebih serius.

Langkah itu termasuk menambah bilangan ahli psikologi di sekolah atau melalui perkhidmatan berkaitan sekolah, terutama di kawasan yang mempunyai ramai pelajar, serta meningkatkan bilangan kaunselor supaya mereka tidak terbeban dengan terlalu banyak kes dan tugas pentadbiran.

Beliau turut mencadangkan sekolah menubuhkan pasukan kesihatan mental yang terdiri daripada kaunselor, ahli psikologi, petugas kesihatan sekolah, guru serta jika perlu pekerja sosial dan pakar psikiatri kanak-kanak.

“Perkukuh pengesanan awal dan saringan, sambil memastikan saringan dilaksanakan secara bertanggungjawab, secara sulit dan disusuli tindakan profesional yang bersesuaian.

“Latih guru dan pentadbir sekolah supaya dapat mengenal pasti tanda awal tekanan emosi, perubahan tingkah laku, buli, kecenderungan mencederakan diri dan isu kesihatan mental yang lain,” katanya.

Lee berkata sekolah juga perlu menambah baik mekanisme rujukan dan tindakan susulan supaya pelajar yang mendapatkan bantuan profesional tidak tercicir, selain melibatkan ibu bapa secara lebih aktif dalam mengenal pasti masalah dan menyokong anak-anak mereka.

Sekolah tidak seharusnya hanya bertindak apabila berlaku krisis, sebaliknya mengutamakan pencegahan, pengesanan awal dan intervensi sebagai asas sokongan kesihatan mental. 

“Oleh itu, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membangunkan satu Kerangka Kesihatan Mental Sekolah Kebangsaan yang menyeluruh dengan piawaian jelas bagi penempatan tenaga kerja, rujukan, intervensi, respons terhadap krisis serta kerjasama antara sektor pendidikan dan kesihatan,” katanya.

-- BERNAMA