KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Walaupun berada jauh dari tanah air, semangat patriotisme komuniti Malaysia di Kazakhstan terus ditonjolkan melalui Majlis Mengibarkan Jalur Gemilang dan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 di Rumah Malaysia, Astana pada Sabtu.
Majlis anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Astana dimulai dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang, diiringi nyanyian lagu "Negaraku" dan bacaan ikrar Rukun Negara.
Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Mohd Adli Abdullah berkata tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” menegaskan bahawa kemajuan negara bukan semata-mata dinilai melalui pertumbuhan ekonomi dan pembangunan fizikal.
“Malah ia dinilai melalui sejauh mana manfaat pembangunan dinikmati secara adil, inklusif dan menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat,” katanya dalam ucapan semasa resepsi sambutan berkenaan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kazakhstan pada Sabtu.
Selain pegawai dan kakitangan Kedutaan, majlis itu turut dihadiri komuniti Malaysia di Kazakhstan, termasuk pelajar, alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan sahabat Malaysia.
Adli turut menyeru komuniti Malaysia di Kazakhstan agar terus menghayati dan mencerminkan nilai Malaysia MADANI melalui kerja keras, integriti, disiplin, budi bahasa serta semangat saling membantu.
“Setiap warga Malaysia di perantauan berperanan sebagai wakil negara dalam memperkukuh imej Malaysia disamping menyemai semangat perpaduan dan kebersamaan,” katanya.
Resepsi itu turut diadakan sempena Majlis Perhimpunan Semula Alumni MTCP 2026 (MTCP Alumni Get-Together 2026) yang dihoskan oleh Duta Besar.
“Dalam konteks hubungan Malaysia – Kazakhstan, MTCP menjadi wadah penting bagi perkongsian pengalaman pembangunan modal insan, perkongsian kepakaran serta pengukuhan jaringan profesional dan persahabatan antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
MTCP yang ditubuhkan pada tahun 1980 sebagai sumbangan Malaysia kepada kerjasama Selatan-Selatan menyediakan program latihan, pembangunan kapasiti dan peluang pengajian pascasiswazah kepada negara-negara membangun.
Sehingga 2025, seramai 196 orang pegawai dari Kazakhstan telah mendapat manfaat daripada pelbagai program pembangunan kapasiti di bawah MTCP.
“Inisiatif ini turut memperkukuh komitmen Kedutaan Besar Malaysia di Astana untuk terus mengukuh dan mengembangkan hubungan Malaysia-Kazakhstan secara lebih menyeluruh berteraskan kerjasama strategik antara kerajaan, hubungan erat antara rakyat serta perkongsian kepakaran serta pembangunan modal insan demi kepentingan dan kemakmuran bersama,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA