Dunia 29/08/2026 09:54 PM

Nepal Kebumi 229 Mangsa Banjir Bhote Koshi Yang Belum Dikenal Pasti

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Nepal Kebumi 229 Mangsa Banjir Bhote Koshi Yang Belum Dikenal Pasti
-- AP Photo/Rajesh Kumar Singh

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Pihak berkuasa di daerah Chitwan, Nepal mula mengebumikan 229 mayat yang belum dikenal pasti pada Sabtu berikutan risiko terhadap kesihatan awam akibat proses pereputan susulan banjir yang membawa kemusnahan di Rasuwa pada Rabu.

Jawatankuasa Keselamatan Daerah memaklumkan 233 mayat telah ditemukan setakat ini akibat bencana itu, dengan hanya empat daripadanya berjaya dikenal pasti.

Mayat dan tinggalan jasad manusia yang ditemukan di tebing sungai serta disimpan di beberapa kemudahan telah reput sehingga tidak lagi dapat dikenal pasti secara visual, menurut jawatankuasa itu seperti dilaporkan The Kathmandu Post.

Pakar kesihatan memberi amaran bahawa pereputan selanjutnya serta bau busuk daripada jasad berkenaan boleh meningkatkan risiko jangkitan dan penularan wabak.

Jawatankuasa itu pada Sabtu memutuskan untuk mengebumikan semua mayat yang belum dikenal pasti dan tidak dituntut mengikut Arahan Pengurusan Mayat Tidak Dikenal Pasti dan Tidak Dituntut (Pindaan Pertama) 2026, sebagai langkah kecemasan bagi mencegah pereputan selanjutnya serta memastikan urusan pengebumian dilakukan secara selamat, bermaruah dan mengikut undang-undang.

Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) akan diambil daripada semua mayat sebelum dikebumikan dan rekod akan disimpan menggunakan nombor pengenalan, menurut keputusan itu.

Lokasi pengebumian ialah kawasan lapang di Devghat, Wad 1, Bandar Metropolitan Bharatpur.

Inspektor Polis Chitwan Anil Thapa berkata setiap mayat diberikan nombor pengenalan unik, dengan tag dipasang pada plat keluli supaya waris boleh menggali semula kubur dan mengeluarkan jasad berkenaan selepas padanan DNA disahkan.

-- BERNAMA