Am 29/08/2026 08:29 PM

KBS Laksana Jelajah Belanjawan Belia MADANI Di Enam Zon

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KBS Laksana Jelajah Belanjawan Belia MADANI Di Enam Zon
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari memberi penerangan ketika ditemui pemberita selepas mengikuti konvoi merdeka bersempena dengan Program Jelajah Sungai Petani bersama dengan Menteri Belia dan Sukan.

BUKIT MERTAJAM, 29 Ogos (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan mengadakan Jelajah Belanjawan Belia MADANI di enam zon seluruh negara bagi mendapatkan pandangan serta aspirasi golongan muda menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober depan.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata jelajah itu bermula di zon utara melibatkan Kedah, Pulau Pinang dan Perlis sebelum diteruskan ke negeri-negeri lain.

“Semalam saya berada di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah… jelajah ini akan berlangsung di negeri-negeri lain sepanjang sebulan ini sehingga pembentangan Belanjawan 2027 akan datang untuk kita angkat kepada Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak Ambang Merdeka Sahabat MADANI di Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Mohammed Taufiq berkata sesi libat urus yang diadakan menerusi jelajah berkenaan memberi ruang kepada golongan muda menyuarakan sendiri pandangan, hasrat dan keperluan mereka kepada kerajaan.

Beliau berkata penglibatan golongan muda penting bagi memastikan suara mereka dapat diangkat dan dipertimbangkan dalam perancangan dasar serta inisiatif kerajaan.

“Saya lihat setiap kali kita turun ke sesi-sesi dialog awam, anak muda hari ini tidak hanya mendengar tetapi yang lebih penting, mereka berani menyuarakan, menyatakan hasrat dan keinginan mereka,” katanya sambil menambah mereka juga perlu memainkan peranan sebagai jambatan perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Mohammed Taufiq berkata tanggungjawab generasi muda kini bukan sekadar meneruskan perjuangan kemerdekaan tetapi juga memastikan rakyat Malaysia tidak terbelenggu dengan sebarang anasir yang boleh membawa kepada perpecahan kaum.

Menyentuh mengenai Sahabat MADANI, beliau berkata ia mempunyai peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan suara serta keperluan masyarakat dapat difahami selain diberi perhatian.

Terdahulu, Anwar melancarkan Sahabat MADANI Peringkat Kebangsaan dengan 11,060 sukarelawan telah berdaftar di seluruh negara sekali gus menjadi gerakan kesukarelawanan nasional yang memperkukuh nilai hormat, menyatukan masyarakat dan menggerakkan khidmat bakti merentasi kaum, agama serta latar belakang. 

-- BERNAMA