Am 29/08/2026 07:50 PM

Anwar Ucap Takziah Kepada Norway Atas Kemangkatan Raja Harald V

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Anwar Ucap Takziah Kepada Norway Atas Kemangkatan Raja Harald V
kredit: FB Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan takziah bagi pihak Kerajaan Malaysia kepada rakyat Norway atas kemangkatan Raja Harald V.

Beliau berkata Raja Harald akan dikenang kerana penghayatan mendalam tentang identiti rakyat Norway, termasuk pengiktirafan baginda terhadap kepelbagaian masyarakat di negara berkenaan.

“Baginda pernah bertitah bahawa negara itu turut dihuni oleh masyarakat yang keluarganya berasal dari Afghanistan, Pakistan, Poland serta pelbagai tempat lain dan menegaskan bahawa mereka juga adalah sebahagian daripada Norway.

“Titah baginda mengingatkan kita bahawa kekuatan sesebuah negara terletak pada maruah dan penghormatan yang diberikan kepada setiap rakyatnya,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata Raja Harald juga memahami tanggungjawab yang digalas selepas mengangkat sumpah jawatan dan kepentingan berpegang teguh kepada komitmen yang telah dibuat.

“Malaysia bersama dengan rakyat Norway meratapi pemergian baginda,” kata beliau.

Raja Harald mangkat semalam pada usia 89 tahun di Hospital Nasional, Oslo di mana baginda menerima rawatan kortison bagi penyakit anemia hemolitik sejak 17 Ogos lepas. 

-- BERNAMA