Oleh Ahmad Erwan Othman
SERDANG, 29 Ogos (Bernama) -- Kisah sebenar di sebalik bekalan beras negara dipersembahkan kepada pengunjung menerusi pendekatan santai dan interaktif oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Isham Ishak berkata menerusi Galeri BERNAS dan pelbagai pengalaman digital di Pavilion BERNAS, pengunjung berpeluang meneroka kandungan interaktif, teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pameran imersif berasaskan penceritaan bagi menjawab persoalan utama iaitu "Mengapa BERNAS penting?"
Beliau berkata usaha penjenamaan semula Galeri Padi kepada Galeri BERNAS sempena pameran itu turut bertujuan memperbetul persepsi dan salah faham masyarakat mengenai peranan sebenar agensi berkenaan sepanjang 32 tahun memegang konsesi import beras negara sejak 1994.
"Secara langsungnya, BERNAS memastikan bekalan beras sentiasa ada... sebagai contoh semasa krisis di Asia Barat, BERNAS memainkan peranan memastikan simpanan bekalan beras negara bukan sahaja cukup untuk enam bulan malah boleh dianjakkan hingga sembilan bulan.
"Secara tidak langsung, BERNAS turut menyokong sektor pertanian tempatan menerusi program tanggungjawab sosial korporat seperti bantuan teknikal dan kewangan kepada pesawah selain memaparkan evolusi penanaman padi daripada pemprosesan tanah hinggalah ke peringkat tuai," katanya.
Isham berkata demikian selepas menghadiri perasmian bersama Galeri BERNAS oleh Pengerusi agensi berkenaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BERNAS Datuk Mohammad Azlan Abdullah di Laman Padi, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Beliau berkata tarikan MAHA kali ini turut diperluas menerusi kewujudan Laman Padi yang membolehkan pengunjung melihat sendiri proses penanaman, kualiti serta penggunaan elemen mekanisasi dan teknologi moden.
Isham berkata ruang pameran interaktif di pavilion utama juga diharap dapat menyemarakkan minat golongan muda untuk memahami industri padi dan beras secara lebih mendalam.
Sementara itu, Rohani mengalu-alukan kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara bagi melihat sendiri lipatan sejarah serta peranan “di belakang tabir” BERNAS dalam menangani pelbagai krisis beras termasuk melalui jalinan kerjasama erat dengan pembekal antarabangsa di peringkat global.
"Ini amat penting memandangkan Tahap Sara Diri beras tempatan negara kini berada pada tahap 52.4 peratus, iaitu bekalan import diperlukan untuk mengimbangkan keperluan bekalan dalam negara," katanya.
Mengulas mengenai usaha meningkatkan produktiviti dan pendapatan pesawah tempatan, beliau menyorot kejayaan Projek Ladang Skala Besar (LSF) BERNAS yang membuktikan peningkatan hasil pendapatan pesawah yang mendadak.
Rohani berkata penglibatan pesawah menerusi model LSF BERNAS berjaya melonjakkan pendapatan mereka daripada RM3,000 kepada RM13,000 sekali gus memberi keyakinan baharu kepada golongan pesawah untuk terus memperluas projek berkenaan ke seluruh negara.
MAHA 2026 menyaksikan BERNAS buat julung-julung kalinya menghimpunkan kisah pesawah, stok penimbal negara, import beras, keterjaminan makanan, inisiatif kelestarian dan obligasi sosial dalam satu pengalaman yang menyeluruh serta mudah difahami.
Selain itu, antara tarikan utama galeri ialah penerangan interaktif mengenai mekanisme satu gerbang import yang menjelaskan bagaimana import beras melengkapkan pengeluaran tempatan, menyokong keperluan simpanan stok negara dan memperkukuh daya tahan bekalan ketika berdepan ketidaktentuan global.
Di Pavilion BERNAS, pengunjung boleh berinteraksi dengan “Intan”, pembantu digital berasaskan AI, meneroka kandungan berkaitan kelestarian, komuniti dan inisiatif BERNAS selain menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti pengalaman sensori beras, demonstrasi penuaian padi serta ikrar awam bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keterjaminan makanan.
Melalui Laman Padi BERNAS, pengunjung berpeluang melihat sendiri bagaimana pesawah, teknologi, mekanisasi dan inovasi saling melengkapi dalam meningkatkan produktiviti serta memperkukuh bekalan beras negara.
Sebagai sebahagian daripada pengisian MAHA 2026, sesi memasak Bubur Pedas Sarawak bersama dengan Pengerusi BERNAS turut diadakan bagi meraikan warisan makanan tempatan.
-- BERNAMA