KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama masih sesak setakat 9 malam ini berikutan orang ramai memulakan percutian panjang hujung minggu dan cuti umum pada Isnin.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan aliran trafik menghala ke utara dilaporkan bergerak perlahan di beberapa kawasan iaitu dari Gopeng ke Simpang Pulai, Sungkai ke Bidor dan Bukit Beruntung ke Bukit Tagar.
Trafik turut dilapor perlahan di kawasan Bertam ke Sungai Petani Utara dan Sungai Dua ke Bertam.
Bagi perjalanan menuju ke arah selatan pula, kesesakan dilaporkan di kawasan Seremban menghala ke Senawang, manakala aliran dari Nilai ke Seremban masih perlahan akibat kemalangan di kilometer 425.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
"Bagi laluan Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK), aliran trafik perlahan dari Gombak ke Genting Sempah ekoran jumlah kenderaan yang bertambah dan tiada kemalangan direkodkan di laluan tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, LLM menjangkakan keadaan jalan raya akan sesak hingga 12 tengah malam ini akibat pertambahan berterusan jumlah kenderaan.
Peningkatan aliran trafik ini dijangka akan turut menjejaskan pergerakan kenderaan pada esok hari.
Sehubungan itu, LLM menasihatkan pemandu untuk memastikan keselamatan diri sepanjang perjalanan dan tidak terburu-buru untuk sampai ke destinasi.
Pemandu juga diseru untuk sentiasa mematuhi undang-undang di jalan raya demi menjamin keselamatan semua pengguna.
"Kami menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan untuk bercuti dan bagi yang baru memulakan perjalanan bersabar dan memandu dengan berhati-hati. Pandu cermat jiwa selamat," katanya.
-- BERNAMA