Oleh Mohd Firdaus Md Saisi
KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Keluarga N. Kalaiselvi, 65, yang dilaporkan hilang di Nepal merayu agar proses mengenal pasti identiti 72 rakyat Malaysia yang disahkan selamat di Darchen, China disegerakan bagi menamatkan kebuntuan mereka.
Kritikaa Joyce De Brito berkata walaupun dimaklumkan oleh Kementerian Luar mengenai sekumpulan rakyat Malaysia yang terselamat di kawasan itu, namun status ibunya masih belum diketahui.
“Saya hanya mahu tahu keadaan ibu dan berharap kerajaan dapat menyalurkan maklumat kepada ahli keluarga dengan seberapa segera,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Wisma Putra hari ini mengesahkan 72 rakyat Malaysia di Darchen berada dalam keadaan selamat, dan pihak kedutaan di Beijing sedang memberikan bantuan konsular, termasuk sokongan bagi urusan perjalanan mereka untuk keluar dari Wilayah Autonomi Tibet, China.
Dalam pada itu, Kritikaa berkata kali terakhir dia berhubung dengan ibunya pada 5.38 petang, Selasa lepas menerusi aplikasi WhatsApp sebelum bencana banjir kilat dan tanah runtuh melanda Daerah Rasuwa, Nepal, sehari kemudian.
“Ibu bersama 26 rakyat Malaysia ke Gunung Kailash di Tibet, China bagi melaksanakan upacara keagamaan kumpulan yang diuruskan oleh agensi pelancongan Spectrum Horizon Travels Sdn Bhd,” katanya.
Kritikaa berkata ibunya berlepas pada petang 23 Ogos sebelum mendaftar masuk ke sebuah hotel di Kathmandu, Nepal pada keesokan harinya.
“Pada 25 Ogos, 5.38 petang saya ada menerima mesej terakhir daripadanya dan sehingga kini kami terputus hubungan. Saya berharap kerajaan dapat bertindak memberikan maklumat mengenai keberadaan ibu,” katanya yang tinggal bersama-sama bapanya di Puchong.
Kritikaa berkata Wisma Putra telah menghubunginya untuk hadir ke Putrajaya bagi sesi taklimat lanjut mengenai perkembangan situasi itu, esok.
Sementara itu, 55 lagi rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana banjir kilat dan tanah runtuh di Daerah Rasuwa, Nepal, Rabu lepas.
-- BERNAMA