Am 29/08/2026 06:49 PM

BoBoiBoy Galaxy Baraju Menang Dua Anugerah Di ContentAsia Awards 2026

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
BoBoiBoy Galaxy Baraju Menang Dua Anugerah Di ContentAsia Awards 2026
Kredit: MONSTA

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Ketika negara bersiap sedia menyambut Hari Kebangsaan ke-69, MONSTA dengan bangganya telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia selepas berjaya merangkul dua anugerah di ContentAsia Awards 2026 menerusi siri animasi BoBoiBoy Galaxy Baraju.

MONSTA dalam kenyataan hari ini memaklumkan BoBoiBoy Galaxy Baraju memenangi Anugerah Emas bagi kategori Best Animated Programme Made in Asia, mengalahkan produksi lain dari seluruh rantau.

Siri itu turut meraih Anugerah Gangsa bagi kategori Best Sound Design Created in Asia for an Asian TV Programme/Series.

“Kemenangan ini adalah satu pengiktirafan penting terhadap kekuatan kreatif dan teknikal produksi animasi Malaysia di peringkat serantau,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, BoBoiBoy Galaxy Baraju mendapat sambutan luar biasa daripada penonton apabila meraih lebih 320 juta tontonan di semua platform digital rasmi MONSTA dan muncul sebagai siri animasi kanak-kanak nombor 1 di Netflix Asia Tenggara.

ContentAsia Awards 2026, yang berlangsung di Bangkok, Thailand, menghimpunkan penyertaan dari 11 negara di seluruh Asia termasuk pasaran utama seperti China, Korea Selatan dan Jepun, menjadikan kemenangan itu sebagai pengiktirafan penting bagi animasi Malaysia dalam landskap kandungan serantau yang kompetitif.

Sementara itu, Pengarah MONSTA Media Faiz Zainal Aabidin berkata kejayaan itu satu pencapaian bermakna buat syarikat berkenaan, lebih-lebih lagi ia berlaku pada Bulan Kebangsaan.

“Kemenangan ini bukan sekadar mengenai dua trofi yang diraih MONSTA tetapi yang lebih penting lagi, ia membawa nama Malaysia dan hasil karya bakat tempatan untuk diraikan di persada Asia.

“Bersempena dengan Bulan Kebangsaan ini, kami amat berbangga kerana BoBoiBoy Galaxy Baraju mampu menjadi antara karya yang mewakili Malaysia menerusi kreativiti, animasi dan bakat tempatan,” katanya.

Kejayaan BoBoiBoy Galaxy Baraju di ContentAsia Awards 2026 melakar satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan francais BoBoiBoy, yang terus berkembang daripada harta intelek animasi tempatan Malaysia kepada jenama hiburan yang berjaya menambat hati penonton serta mencipta pengaruh di pasaran antarabangsa.

-- BERNAMA