BATU KAWAN, 29 Ogos (Bernama) -- Pergerakan Pengakap mempunyai peranan penting dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, bersemangat untuk berkhidmat serta mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Perasmian Jambori Pengakap Malaysia ke-15 (MYJAM15) di Stadium Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini, beliau berkata pergerakan itu bukan sekadar berkaitan pemakaian uniform atau aktiviti luar, sebaliknya menjadi wadah membina sahsiah dan mempersiapkan golongan muda menghadapi masa depan.
“Hikmah bersama dengan pengakap ini … ia letak satu asas mencungkil bakat membina semangat, perpaduan dan memahami sejarah, latar belakang serta warisan, tetapi ada kekuatan untuk bangkit membina masa depan,” katanya.
MYJAM15 yang berlangsung dari hari ini hingga 4 Sept menghimpunkan lebih 5,450 pengakap tempatan dan antarabangsa dari 11 negara termasuk Korea Selatan, Indonesia, Singapura dan Sri Lanka.
Anwar yang juga Presiden Agung Persekutuan Pengakap Malaysia berkata penyertaan peserta dari pelbagai negara memberikan peluang untuk mereka mengenali budaya, bertukar pengalaman serta membina persefahaman.
“Ahli pengakap di sini, sila pastikan anda memahami masyarakat dan gunakan peluang, (pengakap) dari dalam dan luar Malaysia, untuk menggunakan ruang ini belajar antara satu sama lain, menghormati dan melihat mesej perpaduan dalam kepelbagaian dan mesej keamanan dan persaudaraan dalam kalangan negara di dunia,” kata beliau.
Mengimbau penglibatannya dalam pergerakan Pengakap ketika di bangku sekolah, Anwar berkata pengalaman itu antara yang membantu membentuk disiplin, semangat dan daya juang dalam dirinya serta memupuk kesedaran tentang tanggungjawab kepada masyarakat dan negara.
Yang turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Ketua Pengakap Negara Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin.
Sementara itu, Chow yang juga Yang Dipertua Majlis Pengakap Pulau Pinang berkata penganjuran MYJAM15 mempunyai nilai istimewa bagi negeri itu dan menjadi wadah untuk membentuk generasi masa depan yang berkaliber.
Beliau berkata Pulau Pinang berbangga menjadi tuan rumah kepada ribuan anak muda dari dalam dan luar negara, selain melihat penganjuran itu sebagai satu amanah untuk bersama-sama menyumbang kepada pembentukan generasi masa depan negara.
“Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang pada hari ini, saya amat berbangga dapat menyambung legasi yang telah bermula di negeri ini sejak 60 tahun lepas,” katanya.
Penganjuran MYJAM15 melakar sejarah tersendiri apabila jambori kebangsaan itu kembali ke Pulau Pinang selepas 60 tahun, sejak negeri berkenaan menjadi tuan rumah pertama di Teluk Bahang pada 1966.
-- BERNAMA