Am 29/08/2026 05:21 PM

Raptai Penuh Hari Kebangsaan 2026 Lancar, Semarakkan Semangat Patriotik

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Raptai Penuh Hari Kebangsaan 2026 Lancar, Semarakkan Semangat Patriotik
Para peserta tampil mengenakan pakaian tradisional berbilang kaum ketika membuat persembahan pada sesi raptai penuh sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Deretan kontinjen yang tampil segak berpakaian seragam, diiringi kibaran Jalur Gemilang serta deruman aset negara, menggamatkan Dataran Putrajaya dengan semangat patriotisme, pada raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2026, hari ini.

Sesi raptai bermula 8 pagi dan berjalan lancar menggambarkan kemeriahan sambutan sebenar yang akan diraikan Isnin ini, selain turut diserikan dengan penyertaan syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persembahan khas berwarna-warni.

Alunan lagu-lagu patriotik dan paluan gendang dalam acara khas Gema Inovasi MADANI, turut membangkitkan semangat jiwa merdeka dalam kalangan ribuan hadirin yang setia menunggu di ruangan struktur bertingkat di pekarangan Dataran Putrajaya, seawal 6 pagi.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai daripada pelbagai kaum dan latar belakang mengambil kesempatan membawa anak-anak menyaksikan acara itu, bersempena dengan bermulanya cuti sekolah dan mengikuti perjalanan raptai sehingga selesai pada 10 pagi.

Seorang pengunjung Nurmaizatul Fatihah Hanif, 32, dari Kajang, Selangor berkata beliau bersama-sama tiga anaknya hadir memberikan sokongan moral kepada adiknya yang terlibat dalam perarakan pembawa bendera gergasi.

Kerani bahagian sumber manusia itu berkata peluang julung kali menyaksikan perbarisan secara bersemuka itu juga, memberi pengalaman berbeza buat anak-anaknya berbanding hanya menonton di televisyen sebelum ini.

“Adik saya menuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan terlibat dalam perarakan. Sebelum sampai sini kami berhubung menerusi panggilan video untuk bertanyakan lokasi perbarisannya dan sangat teruja bila nampak dia berkawad di laluan utama.

“Seronok bila sambutan hari Merdeka ni mesti nak tengok perbarisan...tadi anak-anakpun terkejut dan teruja bila dengar bunyi jet masa pertunjukan aset, yang biasanya kami tengok di televisyen serta kemunculan maskot yang comel,” katanya.

Sementara itu Eksekutif Akaun Nur Hafizza Mohd Shukri, 24, berkata keterujaan menyaksikan pertunjukan udara dan aksi kontinjen K9, mendorongnya untuk hadir sekali lagi pada hari kemuncak 31 Ogos ini.

“Hari Isnin nanti memang rancang nak datang lagi ke sini dan keluar lebih awal, supaya tak terlepas acara utama. Harapnya suasana hari kejadian nanti meriah, cuaca redup dan tak hujan,” katanya.

Antara yang menarik pada raptai Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM)  ialah persembahan grafik manusia, melibatkan 1,500 pelajar dari 36 sekolah di Selangor menampilkan formasi bergerak mengikut alunan muzik dan bertukar visual, ketika kontinjen melalui ruang utama menjadikan keseluruhan persembahan sentiasa “hidup” dan saling melengkapi dari satu segmen ke segmen berikutnya.

Tidak ketinggalan, kehebatan aset pertahanan negara yang turut mencuri tumpuan, antaranya kereta kebal PT-91M Pendekar 125mm, kenderaan perisai Lipan Bara serta kereta perisai Gempita dalam pelbagai varian persenjataan termasuk AFV 30mm dan ATGW, yang memperlihatkan keupayaan serta kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Acara perbarisan dan perarakan HKHM 2026 dijayakan 10,819 peserta membabitkan 76 kontinjen serta 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias, 328 aset darat, laut dan udara serta 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan Hari Kebangsaan ke-69 akan diadakan di Dataran Putrajaya, dengan jangkaan lebih 80,000 pengunjung hadir menyaksikannya. 

-- BERNAMA