Am 29/08/2026 05:32 PM

ENVORA, RC Coaching Jalin Kerjasama Sokong Komuniti Sukan Lasak Malaysia

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
ENVORA, RC Coaching Jalin Kerjasama Sokong Komuniti Sukan Lasak Malaysia
Kredit : Envora

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Jenama pemakanan dan kesejahteraan ENVORA serta komuniti bimbingan prestasi RC Coaching memeterai kerjasama strategik selama 12 bulan bagi menyokong komuniti sukan lasak yang semakin berkembang di Malaysia. 

ENVORA dalam kenyataan memaklumkan kerjasama yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) itu bertujuan menyokong atlet dan menggalakkan gaya hidup lebih sihat melalui gabungan pemakanan, kesejahteraan serta latihan berstruktur.

Pengasas ENVORA Lim Boon Wai berkata prestasi tidak hanya dibina melalui latihan sebaliknya aspek pemakanan, pemulihan dan kesejahteraan secara keseluruhan juga memainkan peranan penting dalam membantu individu untuk kekal konsisten dan mencapai prestasi terbaik mereka.

“Kerjasama kami dengan RC Coaching membolehkan kami berhubung dengan atlet secara lebih dekat dan menunjukkan bagaimana pemakanan serta kesejahteraan boleh menjadi sebahagian daripada gaya hidup aktif, sama ada individu itu sedang berlatih untuk perlumbaan atau berusaha menjadi lebih sihat dan aktif,” katanya. 

Sementara itu, pengasas RC Coaching Rupert Chen berkata latihan hanya sebahagian daripada perjalanan atlet kerana sokongan pemakanan dan kesejahteraan yang betul membantu mereka menjaga diri dengan lebih baik sepanjang persiapan serta semasa pemulihan.

Komponen utama kerjasama itu ialah penajaan selama enam bulan kepada lapan atlet elit RC Coaching, iaitu Benjamin Chen, Yap Qi Yi, Martyn Lim, Sara Chen, Esther Chen, Edwin Thiang, Eeva Wong dan Premsanjiivraj Silvaraj.

Sepanjang tempoh penajaan, atlet tersebut menerima sokongan produk ENVORA sebagai persiapan menghadapi pertandingan akan datang selain akan berkongsi pengalaman peribadi serta rutin latihan mereka dengan lebih ramai komuniti sukan lasak.

Perkongsian itu juga mengetengahkan realiti atlet, daripada persediaan menghadapi hari perlumbaan sehingga mengekalkan konsistensi jangka panjang, sekali gus memperkukuh kehadiran ENVORA di cawangan guardian dan Healthlane terpilih.

Sepanjang tempoh kerjasama 12 bulan itu, ENVORA dan RC Coaching akan terus membangunkan inisiatif berkaitan atlet, komuniti dan kandungan yang menghubungkan aspek prestasi, pemakanan serta kesejahteraan dalam kehidupan seharian.

-- BERNAMA