TELUK INTAN, 29 Ogos (Bernama) -- Festival Kraf Perak (FKP) 2026 menyasarkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM1.8 juta dan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sepanjang sembilan hari penganjurannya di Dataran Menara Condong, di sini, bermula hari ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata sebanyak 61 usahawan kraf dari seluruh negara menyertai festival itu dan pihaknya yakin kualiti kraf tempatan berupaya menarik minat pembeli serta pelancong.
"Penganjuran festival ini bertujuan menyediakan platform kepada usahawan kraf untuk mempromosi dan mengkomersialkan produk kraf Malaysia kepada masyarakat tempatan dan pelancong serta meningkatkan pengetahuan masyarakat terhadap produk kraf beridentitikan Malaysia.
“Festival ini juga menjadi platform pertemuan usahawan kraf dengan pembeli dari dalam negara seperti syarikat pengeksport barangan berkaitan kraf, agensi kerajaan, syarikat perhotelan dan pusat beli-belah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Mesra Festival Kraf Perak 2026 di Dataran Menara Condong, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Abdul Halim Ali dan Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak Mohamad Rizan Mohamad Nordin.
Program anjuran MOTAC menerusi Kraftangan Malaysia yang beroperasi dari 10 pagi hingga 10 malam itu mengetengahkan pelbagai produk kraf merangkumi tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf seluruh negara.
Shaharuddin berkata penganjuran kali ini turut melibatkan tujuh Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Perak, termasuk penyertaan baharu daripada komuniti Orang Asli.
Beliau berkata antara yang terlibat ialah PPKK Kraf Anyaman Mengkuang Kampar, PPKK Kraf Anyaman Orang Asli Lenggong, PPKK Kraf Anyaman Orang Asli Pos Yum, PPKK Kraf Batik Kampung Gajah, PPKK Kraf Batik Temengor serta PPKK Kraf Batik dan Jahitan Lempor.
“Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan seperti padanan perniagaan, jualan produk kraf, pameran produk kraf baharu, Pameran Institut Kraf Negara (IKN), pengembangan ilmu melibatkan aktiviti interaktif kraf dan fun craft, aktiviti galakan pengunjung, persembahan kesenian dan lawatan berpandu berkumpulan.
“Selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan aktiviti demonstrasi kraf, iaitu aktiviti perkongsian pengetahuan kepada pengunjung berkaitan seni kraf tempatan seperti kraf tembikar Pulau Tiga dan anyaman mengkuang,” katanya.
Maklumat lanjut berkaitan festival boleh menghubungi Kraftangan Malaysia Cawangan Perak menerusi talian 05-7576200.
-- BERNAMA