Am 29/08/2026 03:18 PM

1,000 Tapak Dikenal Pasti Bagi Pelaksanaan JENDELA Fasa Dua Tahun Ini

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
1,000 Tapak Dikenal Pasti Bagi Pelaksanaan JENDELA Fasa Dua  Tahun Ini
Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching (kiri) melekatkan pelekat Jalur Gemilang pada kenderaan pengguna jalan raya sempena Program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS di Stesen Minyak PETRONAS Bandar Putra 2 di sini hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KULAI, 29 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 1,000 tapak, termasuk di Sabah dan Sarawak dikenal pasti bagi pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Dua pada tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pelaksanaan itu akan memastikan liputan Internet di seluruh negara lebih kukuh dan stabil.

“Sebanyak 2,700 tapak di bawah pelaksanaan JENDELA Fasa Dua tetapi untuk fasa pertama tahun ini, 1,000 tapak dikenal pasti dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan tender untuk pelaksanaan di tapak berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS di sini hari ini.

JENDELA adalah inisiatif kerajaan yang diselaras MCMC untuk meningkatkan infrastruktur digital dan liputan Internet di seluruh negara.

Dalam pada itu, Teo berkata pelbagai aktiviti disediakan untuk orang ramai menerusi program RIUH Merdeka, khususnya mereka yang berhasrat untuk berkampung di Dataran Putrajaya bagi menyaksikan perarakan.

Beliau berkata kemudahan pengangkutan awam percuma seperti bas ulang-alik turut disediakan di MRT Putrajaya Sentral dengan kekerapan setiap lima minit, sementara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pula setiap 10 minit. 

“Justeru, orang ramai digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam kerana banyak jalan akan ditutup,” katanya.

Persiapan bagi perbarisan Hari Kebangsaan 2026 juga berjalan lancar dengan lebih 100,000 pengunjung dijangka membanjiri dataran berkenaan.

Terdahulu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai menyerahkan Jalur Gemilang berbentuk magnet percuma kepada orang ramai bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan.

Beliau berkata usaha itu adalah kerjasama Kementerian Komunikasi bersama JAPEN dan Petronas di stesen minyak terpilih. 

-- BERNAMA