Am 29/08/2026 02:49 PM

Siasatan RCI Tabung Haji Diteruskan Bagi Elak Negara Terus Tanggung Rugi - Anwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Siasatan RCI Tabung Haji Diteruskan Bagi Elak Negara Terus Tanggung Rugi - Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) MADANI Permatang Pauh di Yayasan Aman hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

BUKIT MERTAJAM, 29 Ogos (Bernama) -- Siasatan berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) akan diteruskan bagi memastikan negara tidak berterusan menanggung kerugian, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan bahawa tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya hasil siasatan mendapati wujud kesalahan, namun proses berkenaan mesti berlandaskan bukti dan undang-undang.

“Macam (siasatan RCI) Tabung Haji, apabila tidak ambil tindakan, negara akan rugi, (tetapi apabila) ambil tindakan, saya kena maki. Saya pun tidak faham. 

“Saya kata duit hilang RM12 bilion, macam mana hilang? Bila hilang? Siapa yang hilangkan, hal itu (pihak berkuasa) siasat. Ada bukti, dakwa di mahkamah dan kemudian serah kepada hakim. Itu cara kita perintah dan mentadbir," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) MADANI Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman, Penanti, di sini hari ini.

Anwar berkata kerajaan tidak akan menghukum mana-mana pihak tanpa proses sewajarnya, namun tidak akan berkompromi sekiranya terdapat bukti kukuh berlakunya salah laku.

Pada 29 Julai lepas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan itu mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan institusi berkenaan bagi tempoh tersebut, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.

Mengulas lanjut, Anwar berkata usaha membanteras ketirisan perlu diteruskan kerana Malaysia  mempunyai sumber kewangan yang besar, namun sebahagian manfaatnya tidak sampai kepada rakyat akibat kebocoran dalam pengurusan dana dan peruntukan negara.

Menteri Kewangan itu berkata usaha membendung ketirisan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan untuk memastikan setiap peruntukan yang disediakan dapat dimanfaatkan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.

“Apa tujuan ambil tindakan? Supaya (dapat) halang ketirisan. Siapa kata Malaysia ini miskin? Bukan, (cuma bantuan) tidak sampai ke bawah sebab banyak bocor di tengah jalan,” kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan kekal komited membantu semua lapisan masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif yang menyentuh keperluan rakyat secara langsung.

Beliau berkata bantuan kerajaan perlu merangkumi usaha membantu rakyat menjana pendapatan, mendapatkan pendidikan serta menguasai kemahiran dan teknologi.

Kerajaan, kata beliau, telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk melalui Amanah Ikhtiar Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), namun usaha memperkasakan rakyat untuk berdikari perlu terus dipertingkat.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan terus memperkukuh peranan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), khususnya dalam membawa kemudahan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) ke kawasan luar bandar.

“Malaysia satu-satunya negara yang AI dan teknologi itu kita bawa ke daerah-daerah. Setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) ada satu NADI. 

“Kita menang pada peringkat dunia sebab kita buat NADI sampai ke Pulau Banggi, di hujung Sabah, namun kejayaan itu belum cukup kerana ramai yang tidak tahu apa itu NADI. Ramai yang tidak memanfaatkannya,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar menyerahkan sijil kepada enam pemohon yang berjaya dalam program Skim Usahawan Bangkit di Permatang Pauh.

-- BERNAMA