Oleh Nur Aiman Najwa Dzamae
KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Hainan bakal muncul sebagai pintu masuk utama antara China dan ekonomi global susulan pembangunan Pelabuhan Perdagangan Bebasnya (FTP) yang akan menyediakan peluang baharu merangkumi rantaian bekalan, perdagangan digital, pelaburan, pelancongan dan pendidikan.
Perkembangan ini akan diterokai menerusi dokumentari khas Bernama TV bertajuk,“2026: Towards The Hainan Free Trade Port” yang bakal menampilkan tinjauan mendalam tentang bagaimana Hainan mencorakkan semula landskap ekonominya dan memperkukuh hubungan dengan pasaran serantau dan antarabangsa.
Transformasi pesat yang berlaku di pulau seluas 35,000 kilometer persegi itu termasuk pengembangan Pelabuhan Yangpu, antara pintu masuk antarabangsa utama Hainan, yang kini mengendalikan tiga laluan perkapalan utama yang dihubungkan ke Malaysia, dengan persinggahan terus di Pelabuhan Klang dan Pasir Gudang.
Timbalan pengurus besar pusat operasi pengeluaran Hainan Harbor and Shipping Holding Co Ltd, Du Chengcai berkata pelabuhan itu berhasrat untuk mengoptimumkan lagi rangkaian laluannya, meningkatkan kekerapan pelayaran dan mengukuhkan kerjasama dengan pelabuhan di Malaysia dan seluruh ASEAN.
"Dengan meningkatkan kecekapan dan piawaian perkhidmatan pindah kapal, kami menyasarkan untuk membantu membina ekosistem rantaian bekalan China-ASEAN yang lebih padu," katanya.
Dokumentari ini juga mengkaji bagaimana dasar keutamaan, termasuk kadar cukai pendapatan korporat dan individu sebanyak 15 peratus untuk perniagaan dan individu yang layak, menyokong usaha Hainan untuk menarik perusahaan digital dan pelaburan antarabangsa.
Selain perdagangan konvensional, dokumentari ini juga meneroka peluang baru muncul dalam pelancongan perubatan dan marin, pendidikan antarabangsa dan hubungan budaya Hainan yang telah lama terjalin dengan Asia Tenggara, terutamanya Malaysia.
Dokumentari “2026: Towards The Hainan Free Trade Port” akan disiarkan di Bernama TV pada 18 Ogos, 8.30 malam.
-- BERNAMA