Am 16/08/2026 12:46 PM

Giant Destina Putrajaya Tampil Pengalaman Beli-belah Moden, Lengkap Di Bawah Satu Bumbung

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Giant Destina Putrajaya Tampil Pengalaman Beli-belah Moden, Lengkap Di Bawah Satu Bumbung
Kredit: GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GCH Retail) terus memperkukuh kehadirannya, menerusi pembukaan Giant Destina Putrajaya yang menawarkan konsep pasar raya moden dengan kemudahan membeli-belah, pilihan makanan dan minuman serta perkhidmatan farmasi dan produk kecantikan di bawah satu bumbung.

Terletak di lokasi strategik dengan akses terus kepada rangkaian pengangkutan awam termasuk stesen MRT Putrajaya dan KLIA Transit, Giant Destina Putrajaya menyasarkan penduduk, penjawat awam, warga kerja serta komuniti komuter di kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail Cheah Yong Hock berkata pembukaan cawangan itu, mencerminkan usaha syarikat untuk terus berkembang seiring perubahan keperluan pelanggan.

“Giant Destina Putrajaya menggabungkan nilai yang sinonim dengan Giant, dengan pengalaman membeli-belah yang lebih moden dan lengkap.

“Dengan akses terus kepada rangkaian pengangkutan awam, kami berharap cawangan ini dapat memberikan lebih kemudahan kepada penduduk, penjawat awam, warga kerja serta komuniti komuter di Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Giant turut meneruskan strategi “Harga Rendah, Lebih Lama” dengan menawarkan barangan keperluan harian termasuk hasil segar tempatan dan barangan asas dapur.

Selain keperluan harian, pelanggan boleh menikmati pelbagai pilihan makanan menerusi Uncle Jack Fried Chicken, Sudut Nasi Campur dan Kyojin Sushi, manakala Mercato Café & Bakery menawarkan kopi, roti sourdough yang dibakar segar serta pilihan pastri.

“Bagi keperluan kesihatan, penjagaan diri dan kecantikan, pelanggan turut boleh mendapatkan produk berkenaan di MY CHEMIST Hub,” menurut kenyataan itu.

Giant dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa bersempena dengan pembukaan cawangan itu, Giant Destina Putrajaya mengadakan pesta “Jalan Jalan Cari Jajan” dari 13 hingga 31 Ogos ini, yang menawarkan pelbagai pilihan snek dan minuman popular kepada pelanggan, pengguna komuter, penduduk serta warga kerja sekitar Putrajaya.

Selain itu, Giant memperkenalkan penghargaan khusus kepada penjawat awam dan pesara bagi rangkaian makanan Uncle Jack, Mercato Café dan Kyojin Sushi sebagai sebahagian daripada penawaran istimewa sempena pembukaan cawangan berkenaan.

Majlis pelancaran pada 13 Ogos lepas turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd Linda Phang, Senior General Manager KLCC Holdings Group Commercial and Development Ikhwan Hamzah Azizan dan Timbalan Pengarah (Pembangunan), Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam Pardon Munawar.

Giant Destina Putrajaya merupakan sebahagian daripada usaha GCH Retail untuk menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih mudah, lengkap dan bernilai, selaras dengan keperluan gaya hidup moden pengguna.

-- BERNAMA