Am 16/08/2026 01:40 PM

Kayuhan Basikal Klasik Semarakkan Merdeka Di George Town, Subur Semangat Perpaduan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kayuhan Basikal Klasik Semarakkan Merdeka Di George Town, Subur Semangat Perpaduan
Basikal klasik yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat dahulu kembali meredah jalan raya di bandar raya ini menerusi Kayuhan Semarak Merdeka Serata-rata, membawa bersama nostalgia, semangat patriotik dan mesej perpaduan rakyat berbilang kaum. Program anJuran Wharong Karat bersama Pak Lang G Basikal Klasik Sungai Dua, Butterworth itu menghimpunkan hampir 100 peserta pelbagai kaum dan peringkat usia serta latar belakang dengan sebahagiannya segak mengenakan pakaian tradisional serta busana berkonsepkan retro klasik. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Oleh Siti Azila Alias

GEORGE TOWN, 16 Ogos (Bernama) -- Deruan roda basikal klasik kembali menghidupkan suasana nostalgia di jalan raya George Town hari ini, apabila hampir 100 peserta pelbagai kaum dan generasi menyertai Kayuhan Semarak Merdeka Serata-rata, membawa bersama semangat patriotik dan mesej perpaduan.

Lebih menarik, sebahagian peserta program anjuran Wharong Karat bersama Pak Lang G Basikal Klasik Sungai Dua, Butterworth itu tampil mengenakan pakaian tradisional, busana retro dan klasik, seolah-olah membawa kembali suasana sambutan Hari Kebangsaan suatu ketika dahulu.

Pemilik Wharong Karat Mohd Razman Mohammed Sidek, 43, berkata penganjuran yang memasuki tahun keenam itu, bukan sekadar menghimpunkan peminat basikal lama, malah menjadi platform menyemai semangat cintakan negara khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Kita mahu generasi baharu melihat sendiri basikal lama yang pernah digunakan masyarakat dahulu dan dalam masa sama menyaksikan bagaimana orang Melayu, Cina dan India boleh berkumpul serta melakukan aktiviti bersama.

“Kemerdekaan ini sangat penting dan apabila kita bersatu, barulah kita dapat menikmati serta menghargai nikmat kemerdekaan itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program berkenaan di sini, hari ini.

Mohd Razman berkata sambutan terhadap program itu terus meningkat sejak diperkenalkan, daripada hanya kira-kira 15 basikal pada peringkat awal, kepada hampir 100 peserta dari seluruh Pulau Pinang pada tahun ini.

Beliau berkata penyertaan merangkumi pelbagai peringkat usia dengan peserta termuda berusia 11 tahun manakala yang tertua 81 tahun, sekali gus memperlihatkan bahawa semangat kemerdekaan dan minat terhadap basikal klasik mampu menyatukan pelbagai generasi.

“Kayuhan sejauh kira-kira 24 kilometer itu bermula dari Wharong Karat di Air Itam, sebelum melalui beberapa lokasi ikonik termasuk Komtar dan Padang Kota, sebelum peserta berpatah balik ke lokasi permulaan.

“Bersempena dengan 69 tahun kemerdekaan, kita berharap semua rakyat terus bersatu padu. Untuk generasi muda pula, kita mahu mereka terlibat dengan aktiviti sihat dan menjauhi perkara tidak berfaedah termasuk dadah,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fauzi Ismail, 65, atau lebih dikenali sebagai Pak Lang G berkata kerjasama dengan Wharong Karat dalam penganjuran aktiviti basikal klasik telah berlangsung sejak beberapa tahun lepas, khususnya bagi menghidupkan suasana sambutan Hari Kebangsaan.

Beliau berkata kemeriahan sambutan kemerdekaan suatu ketika dahulu begitu terasa apabila kampung, bangunan dan premis perniagaan dihiasi Jalur Gemilang, namun suasana itu dilihat semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

“Jadi melalui kayuhan ini kita cuba hidupkan semula semangat itu. Orang muda pun nampak teruja kerana basikal seperti ini sudah jarang dilihat sekarang,” katanya.

Bagi peserta, Brian George, 43, dari Air Itam, program itu bukan sahaja membuka ruang kepada generasi muda mengenali basikal klasik yang pernah menjadi antara mod pengangkutan utama masyarakat terdahulu, malah menjadi wadah menyatukan masyarakat berbilang kaum dalam suasana harmoni dan mesra.

“Perbezaan pandangan itu perkara biasa, namun apabila tiba bulan kemerdekaan, kita semua bersatu. Saya berharap keharmonian yang dinikmati rakyat Malaysia ini terus dikekalkan,” katanya.

Lim Hock Wei, 39, dari Farlim pula berkata penyertaannya dalam program itu turut didorong persahabatannya dengan Mohd Razman sejak kecil yang telah terjalin lebih 20 tahun.

Katanya peluang bergaul dan berkayuh bersama-sama menjadikan sambutan kemerdekaan lebih bermakna kerana semangat patriotisme bukan sekadar dizahirkan melalui kibaran Jalur Gemilang, tetapi turut diterjemahkan menerusi persahabatan, saling menghormati dan kebersamaan rakyat.

-- BERNAMA