Am 16/08/2026 06:46 PM

Pahang Semarakkan Bulan Kebangsaan Dengan KMJG X JAGO

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pahang Semarakkan Bulan Kebangsaan Dengan KMJG X JAGO
Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Pahang, Rohani Chik (tiga, kiri) bersama Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Supt Ahmad Shafiki Hussin (tiga, kanan) melekatkan pelekat Jalur Gemilang pada kenderaan Pasukan Polis Marin sempena Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) X JaPen Arena Penggerak Komuniti (JAGO) 2026 di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Padang Lalang.

KUANTAN, 16 Ogos (Bernama) -- Lebih 2,000 Jalur Gemilang diedarkan sekitar bandar ini menerusi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) X Jabatan Penerangan Arena Penggerak Komuniti (JAGO) bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM).

Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Pahang Rohani Chik berkata penyerahan Jalur Gemilang itu dibuat menerusi persinggahan konvoi di tujuh lokasi, sekali gus memberi peluang kepada pihaknya mendekati masyarakat dan mengajak orang ramai bersama-sama menghayati semangat kemerdekaan.

Beliau berkata inisiatif bagi memupuk semangat patriotik itu turut menjadi platform untuk menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan dan kenderaan masing-masing sepanjang Bulan Kebangsaan. 

“Sepanjang konvoi ini kita dapat sambutan yang amat baik dan meriah, ada juga penduduk setempat anjurkan pertandingan sendiri seperti menghias basikal yang bagi saya amat menarik,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi terakhir KMJG X JAGO di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 3 di sini hari ini. 

Konvoi yang bermula 8.30 pagi dari Wisma Persekutuan di sini turut disertai Majlis Keselamatan Negara Pahang, Jabatan Penyiaran Pahang, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Pahang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). 

Sepanjang kembara itu, tujuh lokasi menjadi persinggahan bagi mengedarkan kit Jalur Gemilang iaitu Hospital Tengku Ampuan Afzan, pasar tani, stesen minyak, surau Taman Bukit Rangin Perdana 2, pasar raya, Kampung Pantai Beserah dan Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 3. 

Lebih istimewa, Rohani berkata program yang antara lain bagi menjayakan kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang itu, turut menampilkan kenderaan JAGO yang dibawakan khas dari Putrajaya untuk menyertai konvoi berkenaan. 

Beliau berkata JAGO merupakan inisiatif baharu jabatan itu memperkasakan penyampaian maklumat secara lebih inklusif dan interaktif dengan kenderaan berkenaan dilengkapi paparan LED, sistem siar raya, peralatan kamera dan multimedia, pentas tambahan selain ruang perbincangan. 

“Penglibatan JAGO turut membantu menarik perhatian orang ramai, sekali gus menjadikan program lebih meriah dan dekat dengan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap masyarakat mengambil peluang sepanjang Bulan Kebangsaan untuk menghayati erti kemerdekaan dan bersama-sama menyemarakkan suasana dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

-- BERNAMA