BANGKOK, 17 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Pertumbuhan ekonomi Thailand menyusut pada suku kedua 2026 apabila kelembapan dalam penggunaan swasta dan perbelanjaan kerajaan mengatasi peningkatan pelaburan swasta serta keuntungan eksport yang berterusan, menurut data rasmi pada Isnin, lapor Xinhua.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu bagi tempoh April hingga Jun meningkat 1.9 peratus berbanding setahun sebelumnya, menyusut daripada peningkatan 2.8 peratus pada suku sebelumnya, menurut Pejabat Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Negara (NESDC).
Bagi asas suku tahunan, KDNK menyusut 0.2 peratus yang diselaraskan secara musiman pada suku kedua, berbanding peningkatan 0.6 peratus yang disemak semula dalam tempoh tiga bulan sebelumnya, sekali gus mencatatkan penguncupan pertama dalam tempoh tiga suku tahun, kata NESDC dalam satu kenyataan.
Penggunaan swasta meningkat 1.9 peratus tahun ke tahun, turun daripada 3.3 peratus pada suku sebelumnya, seiring dengan kelembapan perbelanjaan di kebanyakan kategori. Perbelanjaan kerajaan pula berkembang 0.2 peratus, menyusut daripada 3.4 peratus sebelum ini, menurut agensi perancangan negeri itu.
Sementara itu, pelaburan awam merosot 1.6 peratus, mencatatkan penguncupan pertama dalam tiga suku tahun berbanding pertumbuhan 9.4 peratus pada suku pertama.
Meskipun begitu, pelaburan swasta melonjak 13.4 peratus, meningkat daripada 10.1 peratus pada suku sebelumnya dan mencatatkan pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 54 suku tahun.
Nilai eksport meningkat 17.6 peratus kepada US$99.08 bilion, menyamai kadar suku sebelumnya, didorong oleh peningkatan eksport pembuatan, terutamanya barangan elektronik, manakala penghantaran produk pertanian melonjak semula susulan kenaikan harga komoditi pertanian global.
Bagi separuh pertama 2026, ekonomi Thailand berkembang 2.4 peratus secara tahunan.
Mengulas prospek masa depan, ekonomi negara itu dijangka melonjak pada suku ketiga berikutan tempoh ketidaktentuan pada suku kedua yang berkaitan dengan konflik Asia Barat, kata Setiausaha Agung NESDC Danucha Pichayanan.
Ekonomi negara Asia Tenggara itu dipunjurkan berkembang antara dua peratus dan 2.5 peratus tahun ini, berbanding anggaran awal antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus, kata Danucha pada satu sidang media.
Eksport yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Thailand dijangka berkembang 15.1 peratus tahun ini, berbanding ramalan awal 9.6 peratus, mencerminkan permintaan berterusan terhadap produk teknologi maju, katanya.
Agensi itu turut menyerlahkan perkembangan pesat pelaburan swasta, peningkatan berterusan penggunaan isi rumah, serta sokongan perbelanjaan kerajaan bagi menangani impak krisis tenaga sebagai faktor utama yang memacu ekonomi akan datang.
--BERNAMA-XINHUA