KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Usaha memerangi rasuah dan memperkasakan integriti secara menyeluruh memerlukan kehendak politik yang teguh bermula daripada peringkat pucuk pimpinan tertinggi, kata bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau berkata kepimpinan atasan harus menunjukkan teladan dan ketegasan yang nyata kerana sebarang bentuk transformasi organisasi hanya akan berjaya sekiranya pihak atasan sendiri memberikan isyarat jelas tanpa kompromi terhadap penyelewengan.
Ayob Khan berkata walaupun pendidikan integriti kepada generasi muda di peringkat sekolah adalah langkah yang baik, namun ia merupakan pelaburan jangka panjang yang memakan masa.
"Perubahan mesti dari atas, kalau pemimpin itu betul-betul ada political will untuk buat, insya-Allah yang bawah itu akan ikut," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Di Sebalik Lencana: Kisah dan Legasi Tan Sri Ayob Khan terbitan Bernama TV malam ini.
Ayob Khan turut mengingatkan bahawa budaya tolak ansur atau tindakan menutup kesalahan pegawai dan anggota hanya menggalakkan lebih banyak salah laku, sambil menegaskan tiada siapa yang kebal daripada undang-undang tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Beliau berkata isu rasuah dan integriti tidak seharusnya dianggap 'rahsia dalaman' yang perlu disembunyikan, sebaliknya ia perlu diakui secara terbuka.
"Kalau kita tidak mengakui masalah yang ada dalam agensi kita, maknanya kita menuju kehancuran, kita bukan bergerak ke hadapan tetapi ke belakang. Begitu juga dalam keadaan negara kita, kalau kita tidak buat perubahan, kita akan ke belakang, negara lain bergerak depan," katanya.
Dalam pada itu, Ayob Khan turut mendedahkan bahawa beliau ada menerima tawaran untuk menyertai arena politik, namun setakat ini masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara berkenaan.
Katanya, pertimbangan utama adalah sama ada penglibatan dalam politik akan memberi ruang kepadanya untuk melakukan perubahan atau sekadar terpaksa mengikut arus dan arahan pemimpin parti.
"Kalau saya terpaksa ikut arus, lebih baik saya tidak pergi politik. Alhamdulillah di mana saya berada, walaupun mungkin ada sikit kekangan, tapi saya masih boleh buat," katanya.
Ayob Khan, yang dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah dilantik Timbalan Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023 dan bersara wajib pada 27 Julai lepas, setelah menabur bakti selama hampir 35 tahun bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sepanjang lebih tiga dekad bersama PDRM, beliau pernah berkhidmat dalam Cawangan Khas termasuk Bahagian Counter-Terrorism, selain menyandang jawatan Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum dilantik Timbalan Ketua Polis Negara.
-- BERNAMA