Am 17/08/2026 11:01 PM

Dua Lelaki Ditahan, Rokok Tidak Bercukai RM1.66 Juta Dirampas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Lelaki Ditahan, Rokok Tidak Bercukai RM1.66 Juta Dirampas

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) --  Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam rangkaian penyimpanan dan pengedaran rokok seludup serta merampas pelbagai barangan bernilai RM1.66 juta dalam Ops Taring Alpha 1 di sekitar Lembah Klang, hari ini.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar berkata dua lelaki berusia 19 dan 30 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar rokok dan penjaga stor ditahan di Desa Petaling, di sini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu masing-masing selama kira-kira enam dan sembilan bulan.

“Dalam operasi yang dijalankan antara 12 tengah hari hingga 1.30 tengah hari itu, polis turut menyerbu sebuah premis di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor yang dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan sementara rokok tidak bercukai sebelum diedarkan ke premis sekitar Kuala Lumpur.

“Secara keseluruhan, kita berjaya merampas 2,115 karton rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai kastam. Turut disita ialah dua kenderaan dan lima telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaki berkata nilai rokok dan barangan rampasan direkodkan sebanyak RM1,499,852, manakala nilai keseluruhan sitaan dan rampasan termasuk aset berkaitan berjumlah RM1,661,352.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Mohd Zaki berkata dari 1 Jan hingga hari ini, pihaknya melancarkan 240 serbuan di seluruh negara dan menahan 413 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan penyeludupan barangan kontraban dengan nilai rampasan dianggarkan RM314.19 juta.

-- BERNAMA