PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Kestabilan politik amat penting dalam memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan yang diyakini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pelabur memerlukan keyakinan terhadap kestabilan sesebuah negara sebelum membuat keputusan untuk melabur, selain mengambil kira kekuatan dan prospek ekonomi negara berkenaan.
"Bagi saya, kestabilan politik itu sangat penting bagi negara kita. Orang tidak akan melabur kalau politik itu tidak stabil," katanya ketika berucap pada majlis penutupan sesi libat urus Belanjawan 2027, di sini hari ini.
Anwar berkata atas pertimbangan itu, beliau memilih untuk memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara bagi membolehkan ekonomi terus berkembang.
Beliau berkata pendekatan keseimbangan antara politik dan ekonomi ada kalanya memerlukan kompromi, namun ia menyebabkan keterbatasan terhadap ruang kerajaan dalam melaksanakan sesuatu dasar.
“Sebab itu orang sergah saya kerana nampak kompromi. Tapi saya ada pilihan. Bertempur, ekonomi menjunam. Kompromi akan memberi keterbatasan tentang langkah-langkah diambil. Itu antara dua keputusan yang harus dibuat.
"Maka saya memilih untuk menjaga supaya politik itu stabil dan ekonomi berkembang,” katanya.
Perdana Menteri berkata pertumbuhan ekonomi yang kukuh akan memberi ruang kepada kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan dan peruntukan bagi memenuhi keperluan rakyat.
Beliau berkata kekuatan asas ekonomi negara ketika ini membolehkan kerajaan berada dalam kedudukan lebih selesa untuk mempertimbangkan tambahan peruntukan, namun setiap permintaan perlu dilihat dalam kerangka makro dan mengambil kira kekangan kewangan negara.
Mengenai sesi libat urus Belanjawan 2027, Anwar berkata ia penting bagi membolehkan kerajaan mendengar pandangan pelbagai pihak, termasuk sektor perniagaan, perdagangan, dewan perniagaan dan institusi perbankan yang turut memainkan peranan dalam meningkatkan keyakinan serta keupayaan ekonomi negara.
Beliau berkata meskipun beberapa sektor seperti kecerdasan buatan (AI) dan digital menunjukkan perkembangan, masih terdapat sektor serta perusahaan kecil dan sederhana yang berdepan cabaran dan memerlukan perhatian kerajaan.
-- BERNAMA