Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Belanjawan 2027 dijangka menawarkan lebih banyak insentif bagi menyokong kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di tengah-tengah realiti kenaikan kos, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan geopolitik.
Ketua Ahli Ekonomi Affin Bank Bhd Alan Tan berkata ini memandangkan kedudukan PKS sebagai pemacu penting pertumbuhan ekonomi Malaysia dan sebarang bantuan selanjutnya dilihat sebagai wajar sekiranya perkembangan luaran terus menjejaskan operasi mereka.
Berdasarkan perkembangan geopolitik semasa, beliau juga percaya kerajaan akan bertindak memperkenalkan lebih banyak inisiatif bagi membantu PKS dalam Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
Berkongsi perkara itu pada sesi panel Forum PKS 2026 di sini, hari ini, Tan berkata ketidaktentuan lebih besar dijangka berlaku pada tahun depan apabila impak kenaikan harga serta gangguan rantaian bekalan global yang sebelum ini mengambil masa, kini dialami oleh perniagaan.
“Ketidaktentuan sedemikian adalah pasti pada 2027 apabila kesemua impak yang tertangguh daripada kesan lonjakan harga serta gangguan terhadap rantaian bekalan global akan dirasai. Secara asasnya PKS akan menjadi penunjuk utama,” katanya.
Ditanya mengenai kelompok PKS yang paling terjejas, beliau berkata ini membabitkan mereka yang banyak bergantung kepada minyak, penghantaran serta kos pengangkutan yang terbukti paling mudah terkesan akibat gangguan di Selat Hormuz.
“Berikutan itu, bagi saya, gangguan itu membabitkan semua PKS,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kalangan PKS untuk memastikan modal kerja serta simpanan tunai yang mencukupi untuk menampung keperluan dan perbelanjaan harian serta mengekalkan operasi di tengah-tengah potensi gangguan selain kelewatan pembayaran.
“Jika sesebuah syarikat mencatat untung daripada jualan produknya kepada pihak luaran, pasti berlaku kelewatan sebelum bayaran itu dapat diterima.
“Pada masa sama sementara menunggu bayaran terbabit, syarikat perlu terus melunaskan perbelanjaan seperti kos bahan mentah dan gaji pekerja dan sebarang kekangan terhadap aliran tunai itu akan menjejaskan operasinya,” kata beliau.
-- BERNAMA