Ekonomi 18/08/2026 02:28 PM

Belanjawan 2027 Perlu Penuhi Harapan Rakyat, Rancakkan Pembangunan Negara - PM Anwar

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027 Perlu Penuhi Harapan Rakyat, Rancakkan Pembangunan Negara - PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) yang juga Menteri Kewangan ketika sesi libat urus bersama Wakil Kerajaan dan Agensi Bukan Kerajaan pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 "Malaysia MADANI: Mengapai Di Langit, Mengadap Di Bumi" di Kementerian Kewangan hari ini.

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Belanjawan 2027 mesti menyambut suara rakyat serta memenuhi harapan mereka dengan usaha merancakkan pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis tenaga dan tekanan kos sara hidup susulan konflik di Asia Barat, justeru Kerajaan MADANI akan mengutamakan harapan serta menangani isu keresahan rakyat demi melindungi kesejahteraan keluarga.

“Kita harus mendengar suara daripada segenap lapisan masyarakat supaya kemajuan negara tidak hanya terlihat pada angka, tetapi benar-benar dirasai rakyat di seluruh pelosok negara,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) selepas mempengerusikan Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 hari ini.

Menurut MOF, majlis libat urus itu merupakan mukadimah kepada perjalanan menuju Belanjawan MADANI Kelima yang akan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober 2026.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, Belanjawan 2027 kekal berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI, yakni Menaikkan Siling pertumbuhan negara, Menaikkan Lantai kesejahteraan hidup rakyat serta Memacu Pembaharuan Tatakelola pentadbiran negara. 

Hampir 400 peserta daripada agensi kerajaan, sektor swasta dan industri, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta pertubuhan antarabangsa telah memberikan pandangan dan mengemukakan cadangan untuk memantapkan penyediaan Belanjawan 2027. 

“Kerajaan MADANI merakamkan penghargaan kepada semua yang menyumbang pandangan dalam Majlis Libat Urus Belanjawan 2027,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu pada masa sama Kementerian Kewangan (MoF) turut melancarkan Portal Cadangan Belanjawan 2027 dan Kenyataan Pra-Belanjawan 2027.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kenyataan Pra-Belanjawan 2027 yang diterbitkan hari ini menggariskan 10 bidang tumpuan sebagai panduan kepada proses libat urus sebelum Belanjawan 2027 dimuktamadkan.

“Ini termasuk usaha menangani tekanan kos sara hidup; memperkukuh perlindungan sosial; memperkasa pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas; meningkatkan daya saing perniagaan dan produktiviti; serta memperkukuh keterjaminan makanan dan daya tahan ekonomi,” katanya.

Antara perkara yang turut dibincangkan dalam Majlis Libat Urus hari ini ialah memperluas perlindungan sosial dan penjagaan kesihatan primer, meningkatkan daya saing perniagaan melalui automasi dan kecerdasan buatan (AI), mempercepat peralihan hijau serta kesiapsiagaan pasaran karbon, di samping memperkukuh daya tahan isi rumah dan keterjaminan makanan.

“Sesi hari ini merupakan permulaan kepada siri mesyuarat kumpulan fokus yang akan dilaksanakan bagi memperhalusi cadangan daripada pelbagai sektor dan lapisan masyarakat.

"MOF akan menyusul dengan siri jelajah Belanjawan 2027 bagi menyantuni rakyat serta pemegang kepentingan di serata wilayah dan negeri,” menurut kementerian itu. 

Orang ramai dijemput untuk mengemukakan pandangan dan cadangan melalui Portal Cadangan Belanjawan 2027 di https://belanjawan.mof.gov.my/. 

-- BERNAMA