LUSAKA (Zambia), 18 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Presiden Zambia Hakainde Hichilema memenangi penggal kedua sebagai presiden selepas meraih lebih 2.9 juta undi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Zambia pada awal Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Hichilema, 64, melepasi ambang yang ditetapkan Perlembagaan iaitu 50 peratus undi ditambah satu undi.
Beliau menewaskan pencabar utamanya dalam pilihan raya presiden Khamis lepas, Brian Mundubile daripada National Restoration Party for Unity and Progress (NRPUP), yang memperoleh 1.8 juta undi.
“Terima kasih, Zambia. Kami benar-benar berasa rendah diri atas kepercayaan yang anda berikan kepada kami untuk memegang jawatan tertinggi negara dan sekali lagi berkhidmat untuk anda,” kata Hichilema menerusi hantaran di Facebook sejurus selepas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Zambia Mwanagala Zaloumis mengisytiharkan beliau sebagai presiden terpilih di pusat pilihan raya kebangsaan di ibu negara, Lusaka.
Zaloumis berkata kemenangan Hichilema begitu meyakinkan sehingga keputusan yang masih belum diterima daripada beberapa pusat mengundi di lima daripada 226 kawasan pilihan raya negara itu tidak akan memberi kesan ketara terhadap keputusan keseluruhan.
-- BERNAMA-ANADOLU