SHIZUOKA (Jepun), 18 Ogos (Bernama-Kyodo) -- Satu laluan kereta api ulang-alik tempatan di tengah Jepun dipercayai menjadi yang pertama di negara itu ditukar kepada perkhidmatan kereta api pelancongan dengan sistem tempahan sahaja bagi keseluruhan laluannya, lapor Kyodo News.
Walaupun menerima bantahan masyarakat setempat selepas tambang dinaikkan dengan ketara daripada kadar berdasarkan jarak kepada kadar sama rata 3,500 yen (US$22), Oigawa Railway Co. berjaya menukar Laluan Ikawa di Wilayah Shizuoka kepada sistem tempahan sahaja pada Julai.
Laluan sepanjang 25.5 kilometer yang turut dikenali sebagai Minami-Alps Abt Line itu merentasi kawasan pergunungan yang terkenal dengan pemandangan indah dan menggunakan satu-satunya lokomotif rak dan pinan Abt di Jepun yang direka untuk mengatasi laluan bercerun curam.
Ketika jumlah penumpang semakin berkurangan di banyak kawasan yang berdepan penyusutan penduduk, inisiatif itu menarik perhatian syarikat kereta api di seluruh negara.
Selain Laluan Ikawa, syarikat itu turut memiliki Laluan Utama Oigawa, laluan popular yang menampilkan kereta api Thomas the Tank Engine. Kedua-dua laluan itu sebelum ini bersambung, namun terpisah akibat kerosakan yang disebabkan taufan pada 2022, menyebabkan Laluan Ikawa terasing.
Usaha membaik pulih laluan itu memerlukan kos yang tinggi, manakala jumlah penumpang di kedua-dua laluan masih belum kembali ke paras sebelum pandemik COVID-19.
Dengan pengurangan penduduk yang semakin ketara di sepanjang laluan itu, tiada pengguna pas ulang-alik direkodkan sepanjang 15 tahun lepas berdasarkan rekod yang tersedia.
Walaupun terdapat laluan persiaran di beberapa kawasan di negara itu yang menggunakan sistem tambang kadar sama rata sejak mula beroperasi, Laluan Ikawa dipercayai yang pertama di Jepun yang sebelum ini beroperasi sebagai laluan kereta api ulang-alik tempatan sebelum beralih kepada sistem tempahan sahaja.
Sejak Julai, jumlah penumpang Laluan Ikawa susut kira-kira 10 peratus berbanding tahun sebelumnya, namun hasil meningkat dengan tempahan dilaporkan memberangsangkan menjelang kemuncak musim pelancongan pada musim luruh.
-- BERNAMA-KYODO