Am 16/08/2026 07:01 PM

Rekod 18 Tahun Tumbang, Armin Pertahan Emas SUKMA

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Rekod 18 Tahun Tumbang, Armin Pertahan Emas SUKMA
Atlet Terengganu, Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif meraikan kejayaannya selepas merangkul pingat emas dalam acara 110 meter berpagar lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pusat Sukan UPM. Lebih manis, beliau turut melakar sejarah memecahkan rekod kejohanan dengan catatan masa 13.66 saat.

SERDANG, 16 Ogos (Bernama) -- Atlet Terengganu Mohamad Armin Zahryl Abdul Latif mempertahankan pingat emas acara 110 meter (m) lari berpagar lelaki dengan bergaya apabila memperbaharui rekod temasya pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di sini, hari ini.

Armin mencatat 13.66 saat (s) untuk memperbaharui rekod kejohanan yang baharu dicipta atlet Johor Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau dengan catatan 13.78s pada saingan separuh akhir sebelah pagi.

Hazriq sebelum itu memadam rekod SUKMA berusia 18 tahun milik bekas jaguh negara dari Sabah Rayzam Shah Wan Sofian yang mencatat 14.10s pada edisi Terengganu 2008.

Pada aksi final, Hazriq meraih perak dengan catatan 13.83s, manakala Muhammad Ruzki A’ Limi Mohamad Zahizal dari Wilayah Persekutuan membawa pulang gangsa selepas merekodkan 13.96s.

Armin sebelum ini turut mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia di Ordos, China bulan lepas.

Beliau mencatat 13.63s pada pusingan pertama untuk memperbaharui rekod 13.67s milik Rayzam Shah yang bertahan sejak 2017, sebelum sekali lagi memperbaiki rekod itu kepada 13.58s pada final.

Armin berkata kehadiran ibunya menjadi pembakar semangat untuk mempertahankan emas, sekali gus menjadikan kejayaan kali ini lebih bermakna berbanding ketika muncul juara pada penampilan sulungnya di SUKMA Sarawak dua tahun lepas.

“Kehadiran ibu di tempat duduk penonton menjadi sumber motivasi terbesar buat saya. Ia sangat berbeza berbanding dua tahun lalu apabila saya menang tanpa kehadirannya,” katanya kepada pemberita selepas acara berkenaan di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Sementara itu, atlet Kelantan Fatin Nashira Mohd Fadzil muncul juara acara 100m lari berpagar wanita selepas mencatat 14.49s dalam saingan sengit.

Farah Syakira Azizsafarin dari Perak terpaksa berpuas hati dengan perak selepas ketinggalan hanya 0.03s apabila merekodkan 14.52s, manakala wakil Sarawak Syarifah Nur Alisya Syed Zafirna meraih gangsa dengan catatan 14.55s.

-- BERNAMA