Am 17/08/2026 10:06 AM

PTPTN Perkasa Literasi Kewangan Generasi Muda Melalui Pertandingan Teater Pendek Simpan SSPN

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PTPTN Perkasa Literasi Kewangan Generasi Muda Melalui Pertandingan Teater Pendek Simpan SSPN
Para peserta serta tetamu bergambar bersama selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Teater Pendek Simpan SSPN Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang berlangsung di Centre Court, AEON Mall Cheras Selatan, Selangor. Kredit: PTPTN

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Teater berjudul “RM1 Untuk Esok” mengangkat Sekolah Kebangsaan (SK) Benoni, Papar, Sabah sebagai juara Pertandingan Teater Pendek Simpan SSPN Peringkat Kebangsaan 2026 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai usaha memupuk budaya menabung dan meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan generasi muda.

Sekolah itu membawa pulang hadiah wang tunai RM3,750 berserta trofi dan sijil.

Tempat kedua dimenangi SK Balik Pulau, Pulau Pinang menerusi karya “Fantasi Simba: Dari Rimba Ke Menara Impian” manakala tempat ketiga diraih SK St Paul, Negeri Sembilan menerusi teater “Simpanan Sejuta Impian”, dengan masing-masing membawa pulang hadiah RM3,000 dan RM2,250 berserta sijil.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dengan dihadiri Ketua Pegawai Operasi PTPTN Mastura Mohd Khalid, Ketua Pegawai Kewangan PTPTN Azhar Ahmad, Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan (KPM) Sanoyah Yusof, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri serta guru besar sekolah terlibat di sini, semalam.

Ahmad Dasuki dalam kenyataan berkata pertandingan itu mendapat sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan 45 sekolah dari 13 negeri ketika Karnival Ceria Simpan SSPN (KCS) Peringkat Negeri yang diadakan serentak di seluruh Malaysia pada 27 Jun lepas.

Beliau berkata pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah lebih RM15,000, termasuk lapan anugerah khas yang diberikan sebagai penghargaan kepada sekolah, guru dan murid yang telah menunjukkan kreativiti, kualiti serta prestasi cemerlang sepanjang pertandingan.

“Semoga pengiktirafan ini menjadi suntikan semangat kepada semua yang terlibat untuk terus mengembangkan bakat dan berkarya dengan lebih kreatif pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan itu.

Pemenang di setiap peringkat menerima hadiah dalam bentuk akaun Simpan SSPN sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, kreativiti dan bakat peserta, selain menyemai amalan menabung dalam kalangan murid sejak usia muda.

Menurut PTPTN, pertandingan itu terbuka kepada sekolah yang melaksanakan Modul Kelab Simpanan Pendidikan (KSP), khususnya susulan pelaksanaan Modul KSP baharu mulai sesi persekolahan 2026.

Pertandingan yang mengetengahkan tema “Simpanan Sejuta Impian” berkenaan merupakan antara inisiatif PTPTN dalam memberikan pendedahan awal kepada murid mengenai kepentingan pengurusan kewangan dan membudayakan amalan menabung sejak awal usia.

Penganjuran pertandingan itu bukan sahaja menjadi platform untuk menyampaikan mesej berkaitan kepentingan menabung melalui Simpan SSPN, malah membuka ruang kepada murid untuk menyerlahkan bakat, kreativiti dan keyakinan diri dalam bidang seni persembahan.

Pendekatan itu selari dengan usaha PTPTN menyokong pembangunan bakat, pembentukan jati diri dan kemenjadian murid, di samping memupuk penghargaan terhadap nilai kesenian dan kebudayaan.

Menurut PTPTN, penglibatan murid Tahap 2 dalam pertandingan itu turut memberi nilai tambah kepada mereka melalui Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), tertakluk kepada ketetapan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Melalui pendekatan pendidikan kewangan yang diterapkan sejak di bangku sekolah, PTPTN percaya generasi muda bukan sahaja dapat memahami kepentingan menabung, tetapi juga mampu membina asas pengurusan kewangan yang lebih baik sebagai persediaan ke arah masa depan pendidikan yang lebih terancang.

Maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN boleh diperoleh menerusi portal rasmi PTPTN www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN.

-- BERNAMA