SHAH ALAM, 16 Ogos (Bernama) -- Menamatkan penantian dua tahun dengan kilauan emas, atlet judo Pahang Danish Mirza Nasrin kini memasang impian untuk memburu tempat dalam skuad kebangsaan selepas mengungguli kategori lelaki atas 90 kilogram (kg) pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.
Atlet berusia 18 tahun itu, unggul mengesahkan kemenangan menerusi “ippon” ke atas wakil Pulau Pinang Shaldon Yanjun Thae, dalam aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.
Kejayaan tersebut dianggap sebagai satu kebangkitan bermakna buat anak jati Kuantan itu, yang sebelum ini pulang tanpa sebarang pingat ketika membuat kemunculan sulung pada edisi di Sarawak, dua tahun lepas.
“Pengorbanan terbesar saya untuk sampai ke tahap ini ialah mengorbankan masa dengan kawan-kawan, lupakan pasal gaming dan berlatih untuk sukan ini.
“Selepas ni, harap ada rezeki orang panggil saya untuk pergi ke national team, insya-Allah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara penyampaian pingat di sini, hari ini.
Perjalanan Danish Mirza ke pentas final turut menarik perhatian apabila beliau yang hanya memegang tali pinggang biru, berjaya menumbangkan pemegang tali pinggang hitam dari Johor Amir Luqman Azhar pada peringkat separuh akhir.
Beliau berkata status tali pinggang bukan ukuran di atas gelanggang, sebaliknya pesanan jurulatih menjadi azimat utama untuknya menumbangkan lawan yang mempunyai gred lebih tinggi.
“Sebab saya pernah ingat jurulatih saya cakap ni: ‘Apa sahaja boleh berlaku dalam tatami’. Jadi saya buat yang sehabis baik, saya akan call-up untuk diri saya dan negeri saya,” katanya.
Terdahulu, pingat gangsa bagi kategori sama dikongsi bersama oleh Amir Luqman Azhar dari Johor dan Kok Jean Feng yang mewakili tuan rumah, Selangor.
-- BERNAMA