Am 17/08/2026 01:56 AM

Belum Masa Kibar Bendera Putih, Cheng Hoe Tagih Kebangkitan Harimau Malaya

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belum Masa Kibar Bendera Putih, Cheng Hoe Tagih Kebangkitan Harimau Malaya
Tan Cheng Hoe

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) - - Ketua jurulatih interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe enggan mengibarkan bendera putih meskipun Malaysia tewas 0-2 kepada Vietnam pada aksi separuh akhir pertama Piala ASEAN 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Cheng Hoe berkata kekalahan di laman sendiri itu belum menutup peluang skuad negara untuk bangkit pada aksi timbal balik di Stadium My Dinh, Hanoi, Rabu ini, biarpun bakal berdepan cabaran getir di hadapan penyokong tuan rumah.

“Kita masih mempunyai 90 minit lagi. Kita belum kalah dalam peperangan, cuma tewas dalam pertempuran pertama.

“Mungkin jika kita dapat menjaringkan satu gol, keyakinan pemain akan meningkat. Sudah tentu kita tahu Vietnam sangat kuat apabila bermain di laman sendiri. Saya yakin kita perlu ke sana dan berdepan cabaran itu,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Gol Nguyen Xuan Son pada minit kelima masa kecederaan babak pertama sebelum gol sendiri Muhammad Faris Danish Asrul pada minit ke-86 memberikan Vietnam bekalan selesa menjelang aksi timbal balik Rabu ini.

Di sebalik kekalahan itu, pengendali berusia 58 tahun berkenaan tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya, terutama barisan pertahanan yang kurang berpengalaman tetapi tetap mempamerkan semangat juang ketika berdepan skuad Vietnam yang mantap.

Sementara itu, ketua jurulatih Vietnam Kim Sang Sik belum berpuas hati dengan persembahan keseluruhan skuad Naga Emas meskipun meraih kemenangan, selain mengakui perancangan pasukannya pada babak pertama tidak menjadi seperti diharapkan.

Pengendali dari Korea Selatan itu turut menepis tanggapan bahawa Vietnam sudah boleh mengalihkan perhatian kepada aksi final berbekalkan kelebihan dua gol, sebaliknya menuntut anak buahnya memperbaiki beberapa aspek permainan menjelang pertemuan di Hanoi.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama semalam, Thailand menewaskan Singapura 3-1.

Final secara timbal balik akan berlangsung pada 22 dan 26 Ogos ini.

-- BERNAMA