Am 16/08/2026 11:27 PM

SUKMA 2026: Olahraga Curi Tumpuan, Selangor Kekal Teratas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SUKMA 2026: Olahraga Curi Tumpuan, Selangor Kekal Teratas
Atlet Johor, Danish Iftkhar Muhammad Roslee (tengah) ketika beraksi dalam acara 100 Meter Lelaki Akhir pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pusat Sukan UPM. Danish Iftikhar Muhammad Roslee memenangi pingat Emas dengan mencatat masa 10.27 saat.

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Olahraga antara yang mencuri tumpuan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 hari ini apabila perebutan gelaran raja dan ratu pecut, pembaharuan rekod temasya serta emas pertama tuan rumah dalam sukan itu mewarnai hari pertama saingan.

Jaguh pecut Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee berjaya mempertahankan gelaran 100 meter (m) lelaki selepas mencatat masa terbaik musim ini 10.27 saat (s), manakala Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira dari Terengganu muncul juara 100m wanita dengan catatan 11.73s.

Terengganu turut meraih kejayaan menerusi Mohamad Armin Zahryl Abd Latif yang mempertahankan gelaran 110m lari berpagar lelaki sambil memperbaharui rekod SUKMA dengan catatan 13.66s, hanya 0.08s lebih perlahan daripada rekod kebangsaan miliknya 13.58s, yang dilakukan bulan lepas.

Mohamad Armin memadam rekod 13.78s yang dicipta atlet Johor Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau pada saingan separuh akhir sebelah pagi, yang sebelum itu meleburkan rekod SUKMA berusia 18 tahun milik bekas jaguh negara dari Sabah, Rayzam Shah Wan Sofian, 14.10s yang dicipta pada edisi Terengganu 2008.

Tuan rumah Selangor pula membuka kutipan emas olahraga menerusi Sasha Alyssa Philip apabila atlet berusia 18 tahun itu melakukan catatan peribadi terbaik 44.93m untuk menjuarai acara lempar cakera wanita.

Kelantan turut meraih emas menerusi Alia Batrisya Nasaruddin dalam lompat jauh wanita dengan catatan 5.88m, manakala Sabah meraih dua emas acara padang menerusi Earl Isaac Mitzler Fredolin dalam lontar peluru lelaki dengan 15.11m dan Samantha Mae Godfrey Binting yang melepasi ketinggian 3.45m untuk menjuarai lompat bergalah wanita.

Wilayah Persekutuan pula meraih emas menerusi Kok Hui Ying dalam acara jalan kaki 10,000m wanita dengan catatan 55 minit 55.06s, manakala T. Jayvind dari Negeri Sembilan mengungguli kategori lelaki dengan catatan 32:45.31s.

Sementara itu, dalam saingan pencak silat di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Muhammad Aliff Damien Mohd Redzuan muncul juara acara seni tunggal lelaki selepas mengumpul 9.925 mata, manakala rakan sepasukannya Izzah Najwa Norwanizam melengkapkan kejayaan berganda Selangor dengan menjuarai seni tunggal wanita menerusi 9.920 mata.

Sabah pula meraih emas menerusi gandingan Manjaseerah Manuil, Sherlenna Abdullah dan Fiffy Ferlisa Rien dalam acara seni berkumpulan wanita, manakala Perak mencatat kejayaan menerusi Puteri Zharifah Shah Nazira yang menjuarai acara solo kreatif wanita dengan 9.910 mata.

Di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, atlet angkat berat Perak Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani membuka saingan dengan bergaya apabila meraih emas kategori 48 kilogram (kg) wanita menerusi jumlah angkatan 154kg selepas melakukan 72kg dalam snatch dan 82kg dalam clean and jerk.

Dalam saingan judo di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, atlet Pahang Danish Mirza Nasrin menjuarai kategori +90kg lelaki, manakala Leng Ko Jia dari Sarawak memperbaiki pencapaian pingat peraknya pada edisi 2024 untuk muncul juara kategori -70kg wanita.

Setakat 10 malam ini, Selangor kekal menerajui carta pingat dengan 11 emas, 9 perak dan 8 gangsa, diikuti Terengganu (10-15-6) dan Wilayah Persekutuan ketiga (7-9-7).

-- BERNAMA