Dunia 17/08/2026 12:00 AM

Sekurang-kurangnya 6 Maut Akibat Banjir Luar Biasa Di Indiana, AS

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Sekurang-kurangnya 6 Maut Akibat Banjir Luar Biasa Di Indiana, AS
Michelle Pemberton/USA Today Network via REUTERS.

ISTANBUL, 16 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya enam orang maut di Indiana selepas sistem ribut kuat menyebabkan hujan melebihi 11 inci di beberapa kawasan di negeri Amerika Syarikat (AS) itu, mencetuskan banjir luar biasa dan operasi menyelamat secara besar-besaran, lapor Anadolu Ajansi yang memetik NBC News.

Banjir tertumpu di sepanjang Sungai White dari Hamilton County hingga ke kawasan pinggir bandar di utara Indianapolis, dengan lebih 90 orang dan 45 haiwan peliharaan diselamatkan, menurut laporan NBC News pada Sabtu.

Di kawasan kejiranan Ravenwood di Indianapolis, air banjir menenggelami kereta dan mencecah pintu rumah, manakala penduduk menggunakan kayak dan perahu dayung untuk bergerak melalui jalan raya yang dinaiki air.

Gabenor Mike Braun berkata beliau telah bercakap dengan Presiden Donald Trump dan proses bagi mempercepat pengisytiharan bencana oleh Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) sedang dilaksanakan, menurut laporan itu.

"Saya bersimpati dengan keluarga dan insan tersayang kepada lima penduduk Indiana yang terkorban serta setiap keluarga yang kehidupan mereka terjejas akibat ribut ini," kata Braun.

"Teruskan mengambil serius ancaman banjir dan jauhi kawasan yang dinaiki air."

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memaklumkan beberapa kawasan menerima hujan melebihi 11 inci dalam tempoh dua hari. Paras Sungai White meningkat melebihi 24 kaki di Anderson dan Noblesville, mengatasi rekod yang dicatatkan pada 1913.

Datuk Bandar Indianapolis Joe Hogsett menggesa penduduk di sepanjang sungai supaya berpindah selepas mengisytiharkan keadaan darurat tempatan.

"Ini antara kejadian banjir yang mungkin berlaku sekali seumur hidup," kata Pengarah Pengurusan Kecemasan Marion County Jacob Spence.

"Jadi, ya, ini kejadian yang belum pernah berlaku sebelum ini dan malangnya, beberapa rekod baharu sedang dicatatkan."

Satu lagi kematian berkaitan ribut dilaporkan di Delaware County apabila seorang wanita berusia 58 tahun ditemukan maut selepas dipercayai cuba memandu meredah banjir.

Jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Indiana Liz Woods turut mengesahkan kematian di Jennings, White, Porter dan La Porte County.

Amaran banjir kilat masih berkuat kuasa di seluruh kawasan tengah Indiana dengan lebih banyak ribut dijangka berlaku.

"Paras air masih meningkat, jadi patuhi amaran yang dikeluarkan," kata Pengarah Jabatan Kerja Raya Indianapolis Todd Wilson.

Ribut itu turut menyebabkan puting beliung, hujan lebat dan banjir kilat di seluruh kawasan Midwest, dengan kerosakan dilaporkan dari kawasan Chicago hingga ke barat Pennsylvania.

-- BERNAMA-ANADOLU