PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- DAP menyokong penuh cadangan kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), kata Setiausaha Agung parti berkenaan Anthony Loke.
Beliau berkata DAP tidak berada dalam kerajaan semata-mata untuk memegang jawatan, sebaliknya mahu menyumbang kepada negara dan merealisasikan perubahan positif menerusi reformasi yang diperjuangkan.
“Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim umum untuk mansuhkan AUKU. Saya nak nyatakan pada hari ini, DAP beri sokongan 100 peratus mengenai cadangan pemansuhan AUKU yang diperjuangkan DAP sejak berpuluh tahun.
“Kita cadang kepada Perdana Menteri bukan setakat AUKU, semangat sama yang kita perlu bawa kepada beberapa reformasi yang kita janjikan (termasuk) memastikan peluang pendidikan tinggi yang sama kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PKR bersempena dengan Kongres Nasional PKR 2026 semalam, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberikan kebebasan dan ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.
Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat susulan memorandum dan pandangan yang dikemukakan kepimpinan mahasiswa, yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan dan usul pemansuhan tersebut akan dibawa ke Kabinet, Rabu ini.
AUKU sebelum ini telah melalui tujuh siri pindaan sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.
Pindaan terbaharu pada 2024 menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk pada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.
Selain itu, penambahbaikan Seksyen 15A AUKU membenarkan Majlis Perwakilan Pelajar dan badan pelajar memungut wang serta menerima sumbangan dalam apa-apa cara, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.
-- BERNAMA